PKP 4: Kon Yeow tinjau amalan SOP di Barkath, norma baru pekerja

Admin

 

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang tadi mengadakan lawatan kerja ke Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn. Bhd. (Barkath) iaitu syarikat pengeluar minuman jus Sunquick di Kawasan Perindustrian Sungai Lokan, Butterworth.

Ketika berucap, beliau menzahirkan penghargaan kepada penggerak industri ekoran komitmen beroperasi mengikut piawaian operasi standard (SOP) yang digariskan oleh pihak berkaitan ketika fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 4) sekarang.

“Kita (Kerajaan Negeri) memahami bahawa adalah sangat sukar untuk kilang beroperasi dalam tempoh PKP, dan saya begitu gembira apabila mengetahui bahawa walaupun sukar untuk beroperasi pada awalnya, syarikat telah mengatasi cabaran dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan.

“Kerajaan Negeri hari ini juga akan melakukan apa sahaja demi membantu semua kilang yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang pada lawatan khas ke kilang berkaitan di sini pada 30 April 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Dr. Ooi Eng Hock.

Kon Yeow menyatakan bahawa sepanjang tempoh PKP 4 ini, beliau turut mengadakan lawatan kerja ke beberapa kilang lain membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi memastikan hasrat operasi sektor-sektor tambahan yang telah mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak sampai menjejaskan usaha semua pihak selama ini, iaitu memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

Sebelum itu, rombongan kerja Kon Yeow ke kilang Emico Holdings Berhad dekat bahagian pulau, disambut oleh Ketua Pegawai Operasi, Loh Gim Huat serta Pengurus Besarnya, Troels Moller Overby.

Dalam satu taklimat ringkas, Overby memberitahu bahawa beliau bersyukur kerana operasi kilang dapat beroperasi pada kapasiti penuh sebagaimana SOP diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 28 April lalu bagi tempoh PKP 4.

“Pada peringkat awal penguatkuasaan PKP, kami hanya dibenarkan mengerah 50 peratus daripada 200 pekerja kami dalam sehari, membawa maksud kurang daripada 100 pekerja sahaja dibenarkan bekerja di tiga buah kilang kami di Pulau Pinang.

“Disebabkan itu, kami menghadapi sedikit kesulitan untuk memenuhi permintaan pelanggan kami, dan ini juga mengganggu rantaian bekalan kami.

“Tetapi, oleh kerana kami dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kini, ia secara tidak langsung sangat membantu kami di sini,” ujarnya.

Overby berkata bahawa pihaknya sangat komited untuk mematuhi semua SOP yang digariskan MITI, demi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja industri berkenaan.

“(Langkah pematuhan SOP secara ketat) ini termasuk daripada segi melakukan pemeriksaan suhu badan (para pekerja), mempraktikkan jarak sosial serta langkah-langkah pencegahan lain demi menjaga keselamatan dan kebajikan para pekerja kami,” tambahnya.

Di sini, Kon Yeow turut mendapatkan maklum balas para pekerja mengenai amalan norma baharu di tempat kerja dan di rumah, ketika pelaksanaan PKP telah memasuki hari ke-44 hari ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWIMA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD