PKP, ambil kira kes positif tempoh 14 hari

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah mengemukakan laporan penilaian risiko serta rumusan berkaitan keadaan penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini untuk Sidang Khas Majlis keselamatan Negara (MKN) pada petang nanti membuat keputusan berhubung jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal dilaksanakan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pihaknya percaya keputusan yang bakal dibuat itu akan mengambil kira mengenai kes-kes harian positif COVID-19 yang direkodkan oleh JKNPP dalam tempoh 14 hari ini.

“Dalam penilaian risiko itu, kita (Kerajaan Negeri) juga mencadangkan apakah hala tuju, tetapi keputusan ini perlu dibuat dalam sidang khas (MKN) pada petang ini.

“Walaupun tahap pematuhan di sektor-sektor tertentu (negeri) masih tinggi, tetapi masih ada kemungkinan kepada setiap orang untuk dijangkiti.

“Dalam kes-kes yang terkini, ada sebahagian besar berlaku…kalau sebelum ini melibatkan kluster kilang tapi sekarang telah meresap dalam kluster komuniti melalui aktiviti-aktiviti sosial serta lain-lain kegiatan.

“Jadi, dipercayai apa-apa PKP yang akan dilaksanakan, ia bakal mengetatkan aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada perebakan jangkitan (COVID-19),” katanya sejurus Majlis Pelancaran Program E-Pembelajaran Pulau Pinang 2.0 Komtar pada 7 Mei 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menjelaskan mengenai pendekatan negeri bagi mencegah perebakan virus COVID-19 yang melibatkan ‘kluster kilang’.

“Pendekatan sekarang adalah JKNPP akan membuat penilaian risiko dan mengarahkan bahagian kilang untuk melakukan proses sanitasi (kawasan berkaitan),” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING