PKP: Sidang DUN Pulau Pinang diputuskan esok

Admin

GEORGE TOWN – Keputusan sama ada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 17 April ini diteruskan atau tidak, akan diputuskan esok melalui Mesyuarat Exco.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Exco perlu mengadakan perbincangan selaras dengan nasihat yang diterima daripada Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri, persidangan DUN perlu diadakan mengikut peruntukan Perlembagaan (Negeri).

“Maka, Exco akan melihat bagaimana untuk memenuhi keperluan perlembagaan ini sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan (selepas 14 April).

“Mungkin kita akan memendekkan tempoh persidangan supaya tidak melanggar peruntukan Perlembagaan (Negeri) dan juga arahan PKP,” ujarnya pada sidang media di Komtar pagi ini.

Menurut Kon Yeow, peruntukan dalam Perlembagaan Negeri telah menetapkan bahawa persidangan DUN perlu diadakan dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas.

Sekiranya dalam tempoh enam bulan tiada persidangan, mengikut perlembagaan (Perlembagaan Negeri) bermakna Dewan Undangan Negeri boleh terbubar secara automatik.

“(Dan) tempoh itu akan tamat pada 6 Mei ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa soalan-soalan DUN telahpun diterima.

“Soalan-soalan DUN tersebut akan dijawab secara bertulis apabila persidangan berlangsung kelak dan akan diadakan dalam tempoh waktu yang singkat.

“Selepas tempoh PKP, kita boleh mengadakan persidangan lagi bagi membolehkan wakil-wakil rakyat membangkitkan perkara-perkara yang ingin dibangkitkan,” ulasnya.

Sejak pelaksanaan PKP berkuat kuasa 18 Mac lalu, beberapa negeri telah memutuskan untuk menangguhkan persidangan DUN, antaranya Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Perak dan Kedah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ALVIE CHENG