PKPB Mukim 13, agensi penguatkuasaan peringkat negeri siap siaga hadapi sebarang kemungkinan

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) yang dijadualkan bermesyuarat pada Isnin ini akan menunggu nasihat, laporan serta syor sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim 13 ataupun sebaliknya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan hal tersebut ketika ditanya pihak media berhubung cadangan pelaksanaan PKPB memandangkan mukim berkenaan kini diklasifikasikan sebagai zon merah apabila sehingga semalam, 6 November 2020, sejumlah 41 kes positif COVID-19 dicatatkan.

Kon Yeow dalam responsnya memberitahu bahawa, secara dasarnya Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) telah mula memantau dan mengambil maklum akan hal ini sejak semalam.

“Satu kluster dikenali sebagai Kluster Intan telah mencatatkan 19 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan adalah 28 kes (sehingga 6 November 2020), dan hari ini difahamkan melalui JKNPP masih ada penambahan kes positif daripada kluster yang sama.

“Justeru, saya telah mengarahkan supaya pemantauan rapi dilakukan dalam tempoh dua hari lagi iaitu hari ini dan esok, sebelum sebarang keputusan dibuat memandangkan satu mesyuarat JKKNPP mengenai COVID-19 akan diadakan pada pagi Isnin ini (9 November 2020).

“Di mesyuarat itu, pihak JKKNPP akan menerima laporan terperinci serta syor daripada pihak-pihak berkaitan sama ada PKPB perlu dilaksanakan di keseluruhan kawasan, sebahagian atau hanya melibatkan lokasi atau lokaliti berdasarkan kes yang dilaporkan sahaja bagi Mukim 13,” jelasnya pada sidang media di sini pagi ini.

Sebagai rekod, Mukim 13 yang terletak di Daerah Timur Laut adalah meliputi kawasan seluas 32.8 kilometer persegi dan mempunyai populasi penduduk berjumlah 271,000.

Mukim 13 adalah meliputi Kampung Melayu, Bandar Bharu Air Itam, Paya Terubong, Kompleks Bukit Jambul, Taman Lip Sin, sebahagian Universiti Sains Malaysia (USM), Taman Bukit Gambir, Sungai Dua, Batu Uban, Kampung Sungai Gelugor, Bayan Mutiara dan Pulau Jerejak.

Serentak itu, Kon Yeow turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak dapat mengetepikan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pertambahan kes drastik dalam tempoh dua hari ini, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat Pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat pertimbangan pelaksanaan PKPB di Mukim 13 pada tempoh masa lebih awal.

“Ini kerana ia adalah bidang kuasa MKN dan KKM, bagaimanapun, agensi penguatkuasaan di peringkat negeri sudah merancang dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING