PENANTI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang kenyataan berbaur perkauman yang menghina atau mengenepikan mana-mana kaum tidak wajar dikeluarkan oleh pemimpin, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah ketika menyampaikan ceramah di Negeri Sembilan, Anwar berkata, selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan, semua pemimpin seharusnya bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian serta perpaduan rakyat.
Beliau menyatakan bahawa meskipun orang Melayu merupakan kaum majoriti dan berasal dari Tanah Melayu, Malaysia turut dibina oleh rakyat pelbagai latar belakang yang telah menerima Perlembagaan Persekutuan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Orang Melayu adalah majoriti memang asalnya dari Tanah Melayu, tetapi ada juga yang berasal dari Indonesia, selain rakyat berketurunan Cina, India, Korea dan pelbagai kaum lain yang telah menjadi warganegara Malaysia.
“Mereka yang taat kepada negara, menerima Perlembagaan dan menjadi warganegara yang baik harus kita rangkul sebagai kekuatan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dato’ Wan Hashim Wan Rahim.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak bersetuju dengan sebarang pandangan atau kenyataan yang bersifat menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting kepada kestabilan, kemajuan dan kemakmuran Malaysia yang perlu terus dipelihara oleh semua pihak.
Semalam, media melaporkan bahawa Menteri Besar Kedah berkata, “Tanah Melayu” merupakan satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.
“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Jempol.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap sektor ekonomi yang menurutnya masih menyaksikan pegangan orang Melayu terhenti pada kadar 18 peratus sahaja selepas 50 tahun.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING