PENGKALAN KOTA – Sebanyak RM181,000 diperuntukkan menerusi Peruntukan Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Tanjong bagi melaksanakan kerja-kerja penurapan semula jalan di kawasan rumah pangsa Lebuh Macallum, termasuk laluan utama di hadapan Blok 346, 348 dan 350.
Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keadaan fizikal jalan, tahap penggunaan serta aspek keselamatan penduduk setempat.
“Jalan utama di hadapan rumah pangsa berkonsepkan U-Shape itu diberi keutamaan kerana merupakan laluan utama keluar masuk penduduk selain berhampiran kedai kopi, premis perniagaan dan gerai pasar malam yang mencatatkan pergerakan kenderaan serta pejalan kaki yang tinggi setiap hari.
“Pada tahun ini, sebanyak RM181,000 daripada PMR Parlimen Tanjong diperuntukkan bagi kerja-kerja penurapan jalan di kawasan Lebuh Macallum.
“Selepas proses tender terbuka, kos projek yang berjaya diperoleh adalah sebanyak RM151,000, sekali gus menghasilkan penjimatan RM30,000 berbanding peruntukan asal,” katanya pada sidang media berhubung kerja-kerja penurapan jalan di kawasan rumah pangsa Lebuh Macallum di Lintang Macallum 1 dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng, ADUN Komtar, Teh Lai Heng serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Alan Lim Wei Lun.

Mengulas lanjut, Hui Ying turut memaklumkan bahawa hasil perbincangan bersama Yuee Harng, penjimatan RM30,000 tersebut dipersetujui untuk digunakan bagi memperluaskan skop projek, termasuk kerja-kerja penurapan jalan di hadapan Blok 352.
Jelas beliau, petak tempat letak kereta tidak termasuk dalam skop asal projek kerana keutamaan diberikan kepada laluan utama yang lebih kerap digunakan penduduk.
“Kita tidak menolak kemungkinan kawasan parkir berkenaan turut dinaik taraf pada fasa seterusnya, tertakluk kepada ketersediaan peruntukan.
“Peruntukan tahunan yang tersedia juga perlu dikongsi bagi memenuhi keperluan komuniti lain serta kemudahan awam di seluruh kawasan Parlimen Tanjong.
“Usaha menaik taraf kemudahan awam bukan sesuatu yang boleh diselesaikan menerusi satu projek sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara terancang dan berperingkat,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, Hui Ying turut memaklumkan bahawa kerja-kerja penurapan jalan utama di hadapan rumah pangsa U-Shape telah siap pada minggu lepas, manakala kerja tambahan di hadapan Blok 352 dijangka selesai dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hui Ying menegaskan bahawa setiap peruntukan awam perlu dibelanjakan secara bertanggungjawab dengan memastikan hasil kerja yang dilaksanakan mencapai standard kualiti sewajarnya serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, Yuee Harng berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan di kawasan berkenaan dilaksanakan berdasarkan keutamaan penggunaan bagi memastikan peruntukan yang terhad dapat dimanfaatkan untuk kawasan yang memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.
“Keputusan untuk tidak memasukkan kawasan petak parkir dalam skop penurapan kali ini dibuat kerana kawasan tersebut kurang digunakan berbanding laluan utama.
“Pada masa sama, kawasan parkir dan beberapa kemudahan berkaitan turut dibersihkan serta telah disusun, manakala garisan petak tempat letak kereta dicat semula bagi meningkatkan keselesaan dan kekemasan kawasan berkenaan,” ujarnya.
Teks dan Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL