MACHANG BUBUK – Anak pokok tin antara ribuan spesies tumbuhan yang dijual di Ekspo Usahawan Desa Orkid dan Flora 2015 .
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, beliau sendiri tidak sangka bahawa pokok tin yang turut disebut dalam Al-Quran rupa-rupanya begitu menggamit perhatian pengunjung ke karnival itu.
“Buah tin mungkin kita pernah makan sama ada semasa ia dibawa pulang ke tanah air, atau semasa kita mengerjakan haji.
“Tetapi, pokok tin mungkin jarang kita dapat lihat, walaupun kita yang melazimi bacaan Al-Quran seringkali bertemu dengan Surah At-Tin,” katanya pada penganjuran Ekspo Usahawan Desa Orkid dan Flora 2015 di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon. Mengulas lanjut, Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat menjelaskan falsafah Al-Quran menyebut mengenai buah tin dan zaitun, serta hubungan antara Bukit Tursina dan Mekah yang menjadi tempat hidupnya keduadua pokok itu.
Sebelum itu, Khai Loon dalam ucapannya merakamkan penghargaan kerana diberi peluang terlibat dalam penganjuran karnival tersebut.
“Tidak lupa juga kepada pihak MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang banyak membantu kami mengadakan ekspo ini,” ujarnya.
Difahamkan, karnival yang berlangsung selama hampir 14 hari sehingga 31 Disember 2015 itu adalah anjuran MMK Keusahawanan, langsung di bawah Pejabat Timbalan Ketua Menteri I sendiri.
Selain bunga orkid dan anak pokok tin, buah-buahan segar, pameran ular serta pakaian turut dijual di sini.
Pemilik gerai buah-buahan, Azizi Ismail memberitahu kebanyakan orang percaya bahawa pokok tin sukar ditanam, namun hakikatnya ia mempunyai kaedah tersendiri dari segi penjagaannya.
“Memang kalau nak diikutkan cara penjagaannya berbeza daripada tanaman lain, tapi bila kena dengan caranya, Insya-Allah ia akan berhasil,” jelas beliau.
Tambahnya, anak pokok Tin boleh dijual dengan harga antara RM100 hingga RM150 sepokok, tetapi boleh dibeli dengan harga yang lebih murah di karnival tersebut. Tin juga dikenali sebagai Ara atau nama saintifiknya, ‘ficus carica’.if (document.currentScript) {