Polis Bantuan awasi aset air negeri

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Seramai 11 anggota polis bantuan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) menerima sijil tamat latihan kelompok pertama demi menjaga kepentingan aset perbadanan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Ir. Jaseni Maidinsa pada ucapannya menyatakan bahawa betapa pentingnya penubuhan pasukan polis bantuan demi menjaga kepentingan aset PBAHB yang sentiasa terdedah kepada aktiviti jenayah.

“Ini merupakan satu aspek penting bagi memastikan semua aset-aset PBAHB sentiasa berada dalam keadaan selamat dan ini juga diperakui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Polis Bantuan PBAHB di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi mewakili Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob.

Pada sesi tersebut, Jaseni turut menayangkan video proses pengagihan air di Pulau Pinang bermula dari sungai utama meliputi sembilan loji rawatan air, kolam takungan air (65), menara takungan air terawat (40) dan stesen pam (87) yang membekalkan air kepada 533,916 pelanggan berdaftar di seluruh negeri Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga merangkap Pengerusi PBAHB berkata, peranan polis bantuan tersebut dilihat begitu penting memandangkan premis dan lokasi PBAHB sentiasa terdedah kepada berlakunya kegiatan jenayah seperti kecurian dan sebagainya.

“Saya juga difahamkan, mengikut Arahan Tetap Sasaran Penting di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, beberapa kawasan terutama loji saringan, kawasan empangan, rumah pam, sesalur agihan dan terusan air telah dikenalpasti sebagai sasaran penting di mana jika berlaku kerosakan, ianya akan mengakibatkan kesan yang amat buruk terhadap ekonomi atau keselamatan negara serta fungsi-fungsi kerajaan.

“Selain itu, polis bantuan juga boleh menjadi mata dan telinga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah kejadian tidak diingini di samping menjaga imej pasukan beruniform supaya dipandang tinggi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menyatakan bahawa pengambilan meliputi 11 anggota kelompok baru polis bantuan bakal menjalani latihan pada awal Mac 2014.

“Pengambilan berperingkat-peringkat ini akan diteruskan sehingga tempoh tiga tahun dan kelompok pertama ini akan ditugaskan menjaga loji utama Sungai Dua, Seberang Perai Utara,” jelasnya.