Polis siasat video tular solat Aidiladha lebih kapasiti di Taman Pelangi

Admin
Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kiri) bersama-sama seorang pegawai polis lain dalam sidang media di IPD Bukit Tengah pada petang tadi.

SEBERANG JAYA – Polis membuka kertas siasatan berhubung satu video tular ibadah solat sunat Aidiladha yang dilihat melebihi kapasiti di luar perkarangan Surau Taman Pelangi di sini pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memberitahu bahawa siasatan awal mendapati insiden itu berlaku secara spontan.

Namun, menurut beliau, mereka yang terlibat boleh didakwa sekiranya ada unsur perancangan di sebalik insiden tersebut.

“Hasil daripada video yang diviralkan itu jelas menunjukkan bahawa mereka yang hadir dilihat adalah warga asing.

“Kami (Polis Diraja Malaysia, PDRM) akan mengesan mereka yang hadir, dan akan menyiasat mereka di bawah Akta Kanun Keseksaan 269 yang dibaca bersama Syeksyen 10 Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Pihak kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar SOP (prosedur operasi standard),” tegasnya pada sidang media dekat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini pada 20 Julai 2021.

Berdasarkan akta berkaitan, tambah Mohd. Shuhaily, mereka yang terbabit boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit bersalah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut melafazkan permohonan maaf atas insiden yang terjadi tersebut.

“Daripada sudut kepolisan, saya selaku Ketua Polis Pulau Pinang memohon maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang akan kegagalan kami untuk mengesan perkara ini lebih awal,” ujarnya.

Di samping itu, Mohd. Shuhaily turut menasihatkan semua pengerusi masjid dan surau supaya membantu pihak polis memastikan orang awam mematuhi SOP berkaitan sempena musim Hari Raya Korban ini.

“Pada kesempatan ini, saya ingin meminta kepada semua Pengerusi (Jawatankuasa) masjid dan surau yang mana dalam tiga hari ini iaitu merupakan Hari Tasyrik (iaitu) ada aktiviti yang akan dilakukan di masjid dan surau, sekiranya ada mereka yang enggan memathui SOP untuk menghubungi pihak polis di talian 04-2221722.

“Saya faham Pengerusi Masjid dan Surau mungkin ada perancangan untuk melaksanakan ibadah tertentu ini, tetapi dalam keadaan kita melawan wabak COVID-19, kita (polis) tidak boleh berkompromi dengan mereka yang tidak mematuhi SOP,” ulasnya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB