“Pondok An-Nahdhoh dibina dengan air mata” – Ust. Mutalib Maarof

Admin
USTAZ Abdul Mutalib Maarof.
USTAZ Abdul
Mutalib Maarof.

YANG DiPertua Yayasan an- Nahdhoh, Ustaz Abdul Mutalib Maarof (Mutalib) menerima Anugerah Khas Keagamaaan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tahun ini. Ikuti wawancara wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MOHD. HAFIZ TAJUDIN dengan tokoh agamawan berkenaan baru-baru ini.

BM : Dari luar, Yayasan ini yang lengkap dengan madrasah, hotel, asrama penghafal al-Quran sungguh indah. Bolehkah Ustaz menjelaskan mengenai perkampungan ilmu Islam ini dengan diri ustaz.

Mutalib : Inilah an-Nahdhoh, pondok seperti pondok-pondok lain. Nama An-Nahdhoh ini membawa maksud “kebangkitan”, semestinya di sana ada terhimpun harapan saya, seluruh ahli lembaga pengurusan Yayasan (an- Nahdhoh), murid-murid pondok serta semua yang berasa tempat ini sebahagian dari kehidupan mereka mahu di sini jadi pemangkin pada kebangkitan pada budaya ilmu dan kesedaran beragama.

Mana-mana pondok pun ada “Tok Guru” yang menjadi rujukan pada murid-murid pondok. Dalam sistem pondok, “Tok Guru” adalah tonggak pada satu-satu pondok. Apabila kita buka (pondok an-Nahdhoh) di sini, kita ada tonggak dan saya cuba memikul amanah ini dengan air mata.

BM : Tentu banyak cabarannya, kalau tidak masakan pondok ini dibina dengan “air mata”. Boleh Ustaz berkongsi pengalaman di sebalik kejayaan membina pondok moden ini?

Mutalib : Sejak zaman mengaji pondok lagi, saya azam nak hidup cara pondok dan kongsi ilmu agama setakat yang ada dengan masyarakat.

An-Nahdhoh ini pondok sahaja, cuma bangunannya itu moden sikit dan sesuai dengan perkembangan masa sekarang.

Pondok an-Nahdhoh ini didirikan di Bukit Indera Muda pada tahun 1999 lagi. Oleh kerana pondok asal sempit, makin sesak dengan pengajian kita, kita ambil keputusan berpindah ke sini (Kampung Patani, Kubang Semang) pada tahun 2003.

Kerja agama cabarannya memang banyak sebab Allah pun kata dalam ayat dua dan tiga (dari) Surah al-Ankabut bahawa orang yang beriman mesti diuji.

Kita cari duit, terpaksa berhutang sana sini dengan orang untuk beli tanah dan bina pondok ini. Pelan perancangan semuanya dalam otak saya sebelum dikemukakan kepada pihak pengurusan. Banyak pihak m e m b a n t u . Ta p i , a d a jawatankuasa yang tak boleh faham dan ada yang tidak boleh menerima. Sampai satu saat, mereka tinggal kita keseorangan. Paling sedih, ada yang tentang kita balik disebabkan berbeza pendapat dalam hal-hal furu’ (cabang/ remeh).

BM : Saya secara peribadi lihat, kalau di Pondok Pulau Melaka, Kelantan milik Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Di Pulau Pinang, kita ada pondok an- Nahdhoh. Maka, adalah wajar Ustaz menerima Anugerah Khas Keagamaan dari T.Y.T Pulau Pinang sempena Maulidur Rasul tahun ini. Apa perasaan Ustaz?

Mutalib : Saya buat kerja agama sejak duduk belajar di pondok (dekat Kedah) lagi, masa itu saya berulang-alik mengajar di (masjid serta surau sekitar) Pulau Pinang dengan motosikal sejak usia berbelas tahun lagi. Maknanya, hampir 20 tahun saya di Pulau Pinang.

Dari belajar di pondok sampai buka pondok sendiri, hati nampaknya memang di Pulau Pinang. Kahwin pun dengan orang Pulau Pinang sungguhpun saya orang Perak dan belajar di Kedah.

Sejak mengaji di pondok, bukan lah cita-cita mengejar anugerah atau pingat atau tokoh apa-apa. Saya memang suka mengajar macam dulu. Sekarang pun, macam dulu melaksanakan tugas mengajar agama macam biasa walaupun sibuk.

Saya pernah berpeluang ke pejabat Ketua Menteri dan diberi masa hampir satu jam untuk saya terang mengenai perarakan Maulidur Rasul. Alhamdulillah, beliau seorang yang terbuka dan bukan anti Islampun…buat apa sesetengah orang Islam kita hantar kek tahi.

BM : Apakah harapan Ustaz untuk Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang?

Mutalib : Yayasan An-Nahdhoh ini, Alhamdulillah boleh berdiri dengan sendirinya berkat sokongan banyak pihak. Semoga tradisi pengajian agama ala pondok sesuai dengan keperluan zaman sekarang ini lebih banyak tumbuh di negeri ini

Di sini, kita ada hotel ala Islam kita sendiri yang mungkin boleh jadi pilihan pada manamana organisasi Islam hatta Majlis Agama (Islam negeri Pulau Pinang, MAINP) sendiri untuk mengadakan seminar atau kursus. Keuntungan urus tadbir hotel ini sebenarnya banyak membantu pada perkembangan murid-murid di sini.

Sekarang, kita sedang berusaha membeli sebidang tanah di sini untuk dibina sebuah flat untuk murid-murid, orang awam serta warga emas yang berminat duduk dalam perkampungan Islam ini. Kalau berjaya, mungkin inilah flat ala pondok pertama di negara ini, InsyaAllah.

DEWAN Utama Madrasah an-Nahdhoh yang menjadi tempat solat berjemaah, kuliah agama serta kamar menghafal al-Quran.
DEWAN Utama Madrasah an-Nahdhoh yang menjadi tempat solat
berjemaah, kuliah agama serta kamar menghafal al-Quran.