Potensi NR-REE bakal cetus USD21 bilion kekayaan baharu untuk Pulau Pinang, respons Ketua Menteri

Admin
42da1665 a8a2 4f41 a6a4 23ff36e1d7de

GEORGE TOWN – Jumlah sumber teragak (inferred resource) NR-REE di negeri ini dianggarkan sekitar 1.7 juta tan metrik, dengan anggaran nilai kira-kira USD 21 bilion yang mana tertakluk kepada pengesahan melalui kajian terperinci.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa potensi elemen nadir bumi bukan radioaktif tersebut mampu menjadi salah satu pemacu ekonomi baharu negeri nanti.

“Potensi sumber ini mampu menjadi salah satu pemacu ekonomi baharu negeri seiring dengan strategi untuk mempelbagaikan asas hasil dan memastikan model pendapatan yang lebih mampan untuk jangka panjang,” jelasnya semasa sesi Ucapan Penggulungan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 20 November 2025.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa NR-REE dekat Pulau Pinang kekal sebagaimana yang telah dilaporkan sebelum ini, iaitu berasaskan kajian tinjauan awalan yang telah dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedang menyediakan Peraturan-Peraturan Mineral Negeri Pulau Pinang, sebagai rangka kawal selia penting sebelum sebarang aktiviti penerokaan atau pembangunan sumber dilakukan.

“Kerajaan Negeri juga terbuka kepada cadangan daripada mana-mana pihak, sama ada tempatan mahupun antarabangsa yang berminat meneroka potensi NR-REE di Pulau Pinang.

“Setiap Cadangan pastinya akan dinilai secara profesional oleh jabatan teknikal berkaitan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong semasa membahaskan Belanjawan 2026 Pulau Pinang meminta Kerajaan Negeri menjelaskan status penilaian dan pengurusan deposit elemen NR-REE di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN & SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD