SUNGAI PUYU – Isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee mengesyorkan agar para peniaga makanan dan minuman memberi potongan harga kepada pelanggan yang membawa bekas sendiri.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kempen Hentikan Plastik Sekali Guna yang diadakan serentak dengan pembukaan Pusat Kitar Semula Pasar Awam Bagan Ajam dekat Butterworth di sini pagi ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) berkata bahawa pihaknya sejak tahun lepas lagi komited terhadap kempen tersebut dengan mengedar mangkuk tingkat atau tiffin kepada orang ramai.
“Sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dengan mengawal dan mengurangkan pencemaran plastik sekali guna termasuk beg plastik, penyedut minuman, bekas makanan di premis-premis.
“Memandangkan penggunaan plastik sekali guna telah bertambah dengan berleluasa terutamanya semasa dan selepas pandemik COVID-19 hingga kini, Pertubuhan Wanita Mutiara sejak tahun lalu (2024) memutuskan untuk mengedar mangkuk tingkat kepada orang ramai.
“(Inisiatif ini) adalah untuk memupuk kesedaran mengenai kesan negatif penggunaan plastik sekali guna serta menggalakkan amalan mesra alam dalam kalangan masyarakat,” jelasnya dalam majlis berkenaan sambil memberitahu ini kali ketiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut melaksanakan kempen mengedar mangkuk tingkat kepada orang awam.
Di samping itu, beliau berkata bahawa kempen yang digerakkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze serta disokong oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan berjaya sekiranya mendapat partisipasi komuniti lokal termasuk para penjaja makanan di Pasar Awam Bagan Ajam Butterworth sendiri.
“Saya ingin mencadangkan kepada para penjaja makanan di pasar awam ini dan ahli komuniti setempat serta pengunjung awam yang datang ke pasar ini (Pasar Awam Bagan Ajam Butterworth) untuk menyokong Kempen Hentikan Plastik Sekali Guna.
“Penjaja di sini boleh menyokong kempen ini dengan memotong 50 sen atau RM1 daripada harga makanannya jika para pelanggan membawa bekas makanan atau mangkuk tingkat untuk membeli makanan dan minuman; atau mereka (penjaja) boleh buat seperti penjaja di New World Park (dekat KADUN Padang Kota) yang menawarkan tambah jumlah makanan yang dibeli seperti menambah jumlah bebola ikan dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Selain Syn Tze, turut berucap ialah Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor mewakili Datuk Bandar MBSP.
Turut serta, beberapa Ahli Majlis MBSP serta anggota beberapa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lokal.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD