PP, negeri pertama bertemu pengusaha vape sebelum ambil sebarang keputusan – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri masih belum memberi kata putus bagi mengharamkan penggunaan dan penjualan vape di negeri ini berikutan perlunya perbincangan lebih terperinci berhubung isu itu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memerlukan tempoh tertentu untuk memberi kata putus dan menyediakan suatu polisi berhubung penggunaan dan penjualan vape di negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan mengadakan sesi perbincangan secara terperinci bersama-sama pihak Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk beberapa pakar sebelum memutuskan sama ada vape diharamkan atau tidak.

“Kemudian, kita (Kerajaan Negeri) akan membuat keputusan berdasarkan fakta serta maklumat daripada pakar-pakar memandangkan aspek kesihatan menjadi keutamaan semua pihak,” katanya ketika merumuskan pertemuan bersama-sama pengusaha vape dan badanbadan berwajib pada Sesi Dialog Awam berkenaan Isu Vape di sini 5 Januari lalu.

Hadir sama sebagai panel pendengar, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan); Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar); Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut hadir memberi pandangan masing-masing antaranya ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer dan ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan.

Disertai kira-kira 50 pengusaha vape dari Persatuan Pengusaha Vape Pulau Pinang (PPVPP), sesi dialog berkenaan turut dihadiri wakil-wakil dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), National Cancer Society Malaysia (NCSM) cawangan Pulau Pinang dan KKM.

Sehubungan itu, Guan Eng turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan lesen-lesen baharu bagi penjualan vape sementara menunggu keputusan yang akan diumumkan kelak.

“Walau bagaimanapun, lesen sedia ada ataupun yang telah dikeluarkan tidak akan ditarik balik sehingga suatu persetujuan dibuat kelak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Afif ketika ditemui berharap pengusaha vape dapat tampil memberi pandangan bersertakan fakta dan maklumat yang kukuh berhubung isu vape kepada beliau.

“Saya dan pihak Kerajaan Negeri inginkan maklumat dan input-input daripada pengusaha vape memandangkan pandangan yang diberikan semasa sesi dialog tadi tidak meyakinkan terutamanya pada aspek kesihatan.

“Apapun, diharap semua bersabar dan Kerajaan Negeri sedang melakukan yang terbaik memandangkan kita menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mengadakan pertemuan umum dengan pengusaha vape dan wakil-wakil berwajib sebelum mengambil sebarang keputusan (mengenai penjualan dan penggunaan vape di negeri ini),” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah penggunaan vape sebagai haram pada Muzakarah Khas diikuti pengumuman pengharaman penggunaan vape di beberapa negeri antaranya Johor, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Perak.

}