Polisi pinjaman perumahan baharu lebih sesuai – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah idaman masing-masing di sini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, selain memastikan bekalan unit rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan mampu milik mencukupi, aspek pinjaman perumahan turut menjadi faktor pemilikan rumah kini.

Menurut Jagdeep, beliau mencadangkan agar satu polisi pinjaman baharu diwujudkan bagi memudahkan golongan terbabit mendapat kelulusan pinjaman perumahan di Malaysia.

“Kita (Kerajaan Negeri) rasa adalah lebih sesuai jika kita mewujudkan sebuah polisi pinjaman perumahan baharu berbanding cadangan menubuhkan Bank Perumahan baharu bagi menyediakan perkhidmatan pinjaman itu,” katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang bercadang mewujudkan Bank Perumahan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah.

Jagdeep berkata demikian pada sidang media di sini baru-baru ini.

Difahamkan, dalam kenyataan Abdul Rahman, beliau menyatakan bahawa kementerian turut akan mengkaji cadangan untuk membenarkan syarikat peminjam wang berlesen seperti syarikat insurans dan koperasi yang berada di bawah kementeriannya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada golongan terbabit.

Walau bagaimanapun, Jagdeep memberitahu bahawa beliau bimbang sekiranya cadangan tersebut (menubuhkan Bank Perumahan) akan bertentangan dengan Akta Institusi Kewangan,1989 (BAFIA) dan mengambil masa yang amat panjang.

Tambahan pula, ulasnya, buat masa ini, kebanyakan bank komersil menolak antara 50 hingga 70 peratus permohonan pinjaman perumahan.

“Kita boleh membina banyak unit rumah, namun ia tidak bermakna jika golongan yang memerlukannya tidak boleh mendapat pinjaman dari bank.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) mencadangkan agar sistem perbankan sedia ada digunakan iaitu dengan meminta Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia berunding dengan semua bank komersil untuk mewujudkan satu polisi pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang rendah bagi pemohon,” ujar beliau.

Cadangan Kerajaan Negeri itu turut dipersetujui Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan yang turut hadir pada majlis berkenaan.