PPAPP lancar buku Cobrate, penuhi keperluan bacaan OKU penglihatan

SEBERANG JAYA – Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) buat julung kalinya melancarkan buku Cobrate sempena sambutan Hari Braille Sedunia hari ini.

Sharimah Salleh.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh berkata bahawa buku Cobrate tersebut dihasilkan dengan menggabungkan tiga elemen iaitu teks biasa, kolaj dan tulisan Braille bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 3,460 buah buku Braille telah dihasilkan sendiri oleh PPAPP sejak projek Cobrate dimulakan dua tahun lalu.

“Apa yang kita cuba buat adalah kita hendak menonjolkan buku-buku Braille yang dihasilkan sendiri oleh PPAPP di bawah projek Cobrate yang mana sebelum ini hanya di hantar ke sekolah-sekolah yang memerlukan sahaja.

“Oleh itu, apabila kita melaksanakan program seperti ini, lebih ramai orang akan datang dengan harapan mereka dapat mengetahui lebih lanjut tentang bahan bacaan buku Braille yang ada di PPAPP.

Mohd. Hazani Abdullah (tengah) adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan penterjemahan bahan bacaan tulisan Braille di PPAPP.

“Buku yang kita perkenalkan hari ini adalah buku Cobrate yang menggabungkan teks biasa, kolaj dan tulisan Braille yang bertujuan untuk membolehkan setiap ahli keluarga termasuk yang mempunyai masalah penglihatan dapat membaca bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Braille dan Pertandingan Membaca Braille Sempena Sambutan Hari Braille Sedunia dekat PPAPP, di sini pagi tadi.

Puan Tan Lean Kee (kanan) meneliti buku Cobrate yang dihasilkan PPAPP menggabungkan teks biasa, kolaj dan tulisan Braille.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri yang juga Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Puan Tan Lean Kee.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar yang juga Timbalan Pengerusi PPAPP, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Ahli-Ahli Lembaga PPAPP, Fauziah Tahir dan Dr. Ghazali Mohd. Fadzil serta wakil Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Azizi Janan.

Selain itu, Sharimah memberitahu bahawa lebih 100 peserta telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Membaca Braille yang  pertama kali dianjurkan oleh PPAPP.

“Kita adakan dua jenis pertandingan bacaan Braille iaitu untuk peserta normal yang boleh membaca tulisan Braille dan mereka yang mempunyai masalah keupayaan penglihatan.

“Tujuannya adalah untuk membolehkan mereka yang normal lebih memahami golongan yang mempunyai masalah penglihatan ini,” katanya.

Antara kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan membaca Braille.

Sementara itu, Mustafa Kamal dalam ucapan beliau sebelum itu menyatakan bahawa PPAPP sentiasa bersedia meningkatkan penyampaian perkhidmatan agar lebih berkesan dan memenuhi kehendak pelanggan.

“Justeru, salah satu inisiatif dalam merealisasikan matlamat ini adalah dengan memperkasakan bahan bacaan kepada OKU cacat penglihatan dengan menghasilkan buku Cobrate.

Para pemenang pertandingan membaca Braille.

“Suka saya kongsikan bahawa PPAPP telah menerbitkan buku Cobrate berjudul Siri Pengembaraan Chaq dan Chik dan Siri 1 Mari Mengenal Huruf.

“Semoga usaha murni ini dapat membantu menerapkan nilai dan budaya cintakan buku serta ilmu dalam kalangan masyarakat di negeri ini tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD