PPR Taman Manggis: Tindakan pengusiran adalah ekoran perlanggaran syarat ditetapkan – respons Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menegaskan bahawa tindakan menyita 22 rumah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis baru-baru ini adalah ekoran perlanggaran syarat-syarat oleh pihak berkaitan sebagaimana ditetapkan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, terdapat beberapa sebab yang tidak melayakkan penduduk menyewa rumah PPR berkenaan, antaranya adalah tunggakan pembayaran kos penyewaan dan hilang kelayakan disebabkan pendapatan bertambah serta melepasi paras dibenarkan untuk menyewa.

Selain itu, katanya, penduduk juga akan hilang kelayakan apabila mereka berkahwin dengan warga asing.

“PPR ini adalah untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mana unit-unit PPR ditawarkan dengan syarat-syarat yang ditetapkan iaitu konsepnya adalah penyewaan untuk tempoh lima tahun sahaja.

“Dalam tempoh lima tahun tersebut, diharapkan penyewa-penyewa dapat menaik taraf diri dan keluarga daripada segi sumber pendapatan serta peluang pekerjaan supaya mereka lebih mampu untuk menduduki kemudahan perumahan lain atau membeli unit perumahan sendiri.

“Tetapi untuk kes PPR Taman Manggis ini, sehingga kini penyewa yang sepatutnya duduk dalam tempoh lima tahun sahaja masih duduk (tinggal) di sana,” ujar beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di sini tadi.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee.

Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan bahawa sebanyak 22 rumah penyewa PPR Taman Manggis telah disita selepas notis pengosongan diberikan pada Oktober 2018 diikuti notis terbaharu bertarikh 22 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan mendengar rayuan tetapi membabitkan kes-kes yang sahih sahaja, dan tindakan penguatkuasaan masih akan diteruskan meskipun penduduk dilaporkan melakukan demonstrasi aman di perkarangan Komtar hari ini.

“Tindakan ini diambil adalah untuk memastikan pemohon lain juga berkesempatan untuk ditawarkan unit PPR di situ (Taman Manggis) kerana terdapat lebih 400 pemohon sedang menunggu untuk ditempatkan di PPR berkenaan.

“Mereka (penyewa) tidak menghargai peluang yang diberikan kerana mereka masih tinggal di sana sehingga kini meskipun telah masuk tempoh 10 tahun dan tidak ingin mengosongkan unit masing-masing supaya orang lain yang kurang mampu serta berkelayakan untuk mengisi unit-unit PPR tersebut.

“Dalam kes Taman Manggis ini, biarlah orang awam yang membuat penilaian sendiri, siapakah yang patut (disalahkan) atau sebaliknya,” jelasnya.