PPV lapangan jangka dibuka hujung Jun

Admin

BAYAN LEPAS – Sebagaimana dimohon oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lapangan bagi pekerja industri Jabil Circuit (Jabil) dekat Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas Fasa IV dijangka beroperasi pada hujung Jun ini dengan kapasiti suntikan harian antara 1,200 hingga 1,500 dos.

 

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Menteri Kanan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas mengadakan lawatan ke PPV berkenaan di sini petang tadi.


“Ia akan dibuka khas untuk kakitangan-kakitangan Jabil dahulu sebelum kepada kilang-kilang lain, dan untuk komuniti ia juga akan diputuskan kemudian,” ujarnya di sini pada 17 Jun 2021.


Dalam pada itu, Mohamed Azmin pula memaklumkan bahawa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan mengadakan lawatan ke PPV lapangan di Jabil esok.

 

“Pasukan dari CITF akan hadir melawat ke PPV lapangan dicadangkan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan ia memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

“Saya kagum dengan fasiliti di Jabil, pasukan CITF akan datang esok dan memberikan keulusan secepat mungkin atau dijangkakan hujung bulan ini,” ujar Ahli Parlimen Gombak itu.



Sebelum itu, Kon Yeow dan Azmin turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan PPV lapangan di Intel Technology Sdn. Bhd. (Intel).


Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan beberapa pegawai agensi persekutuan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).


Pada sesi taklimat yang diadakan, wakil industri berkenaan menjelaskan bahawa PPV lapangan Intel juga dijangka akan mula beroperasi pada penghujung bulan ini, dengan kapasiti pemberian vaksin COVID-19 harian pada kadar 1,000 dos.


Difahamkan, kira-kira 10,000 pekerja telahpun mendaftar untuk mendapatkan vaksin di sini sungguhpun 8,400 adalah pekerja dalam barisan hadapan keperluan di lapangan, sementara baki seramai 13,100 lagi bekerja dari rumah. Kesemua pekerja Intel Pulau Pinang adalah warganegara.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB


Gambar : ALISSALA THIAN & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

 

Video : CHAN KOK KUAN & LAW SUUN TING