PPV PVac Bukit Jawi Golf Resort mula dibuka untuk pekerja bukan sektor perkilangan

SESI perbincangan dengan mereka yang bakal menerima suntikan dos pertama vaksin di PPV PVac dekat Bukit Jawi Golf Resort di sini pada pagi tadi.

JAWI – Mulai pagi ini Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Vaksinasi Barisan Sektor Ekonomi Pulau Pinang (PVac) dekat Bukit Jawi Golf Resort, di sini dibuka dengan kapasiti suntikan harian sebanyak 612 dos sehari.

DR. Najeemu Hamzah

Ketua Operasi PPV PVac, Dr. Najeemu Hamzah memberitahu bahawa rata-rata yang mendapat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera di sini merupakan para pekerja dalam industri kecil sederhana (IKS), sektor bukan perkilangan, peladang, penternak, peruncit dan pekerja restoran.

“Seramai 20 petugas kesihatan bertugas di sini bersama-sama 25 sukarelawan bukan kesihatan, kerjasama yang diberikan oleh Pengarah Urusan Bukit Jawi Golf Resort, Khor Kim Tong begitu bagus.

“Kami (kakitangan kesihatan) akan bertugas sebaik mungkin untuk memastikan sasaran imuniti kelompok segera dicapai di negeri ini.

“Selain 20,000 dos vaksin Pfizer yang telah dibekalkan untuk penerima suntikan dos pertama dan sebahagiannya untuk dos kedua, sama ada PPV PVac di sini dilanjutkan operasi atau tidak adalah bergantung kepada perbekalan vaksin tambahan,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 9 Ogos 2021.

DR. Najeemu Hamzah (tengah) dan beberapa petugas kesihatan lain merakamkan gambar dengan Khor Kim Tong (dua dari kanan) di sini pagi ini.
DR. Norlela Ariffin

Dalam perkembangan berasingan, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin menerusi hantaran di laman Facebook peribadi semalam antara lain memberitahu bahawa pihaknya berharap pembukaan PPV PVac di sini akan mempercepatkan akses vaksin dalam kalangan anggota para pekerja yang berada dalam sektor bukan perkilangan, para petani serta peladang.

“Alhamdulillah Pengerusi Persatuan Penternak dan Peladang Pulau Pinang beritahu yang semua pekerja penternakan Ayam di Pulau Pinang yang mohon vaksinasi telah dapat hantar senarai melalui PVac (PPV bawah kerajaan negeri) susulan permohonan vaksinasi pekerja oleh Persatuan Penternak dan Peladang kepada saya dan peruncit.

“PVac Industri adalah PPV untuk bantu sektor bukan perkilangan seperti Penternakan, Peladang, Akuakultur, Agromakanan, Peruncitan dan di urus oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).

“Buat masa ini 20,000 vaksin yang diluluskan oleh CITF Pusat telah habis ditempah dan dibayar dalam masa 2 hari permohonan secara dalam talian dibuka di https://www.penang.gov.my/pvac/,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Sebelum itu, Buletin Mutiara berkesempata membuat tinjauan awal di PPV PVac di sini.

Sekitar jam 8:30 pagi, kelihatan beberapa buah bas persiaran memasui kawasan Bukit Jawi Golf Resort, dipercayai membawa para pekerja restoran yang rata-rata adalah warga asing.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING