PPV tambahan Daerah SPT, lebih 4,000 dos suntikan harian

Admin

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Pulau Pinang menyasarkan suntikan vaksin sebanyak 10 peratus daripada populasi penduduk dewasa dapat diberikan pada setiap minggu kepada rakyat bergantung kepada bekalan yang ada.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah tersebut adalah bagi membolehkan 100 peratus individu yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin dapat diberikan suntikan dos pertama menjelang awal September ini.

Ketua Menteri ketika mengadakan lawatan ke PPV One Hope Charity dekat Autocity, Juru pagi tadi.

“Di Pulau Pinang, kita mencecah 54 peratus bagi dos pertama (sehingga 11:59 malam, 30 Julai 2021) dan mengikut anggaran, menjelang awal September, kita sudah boleh berikan suntikan dos pertama kepada 100 peratus rakyat di negeri ini yang telah berdaftar.

“Justeru, saya menyeru kepada mereka yang telah mendaftar tetapi masih lagi menunggu tarikh janji temu agar mengambil maklum akan perkara ini,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) One Hope Charity and Welfare Berhad (One Hope Charity) dekat Autocity, Juru di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Penasihat One Hope Charity, Datuk Seri R. Arunasalam; Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau serta Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sebuah lagi PPV akan dibuka di bahagian SPT bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin sedia ada bagi daerah berkenaan.

Proses vaksinasi di PPV One Hope Charity berjalan lancar.

“Pihak CITF Negeri telah meluluskan permohonan satu lagi PPV bagi daerah SPT iaitu di Vangohh Eminent Hotel & Spa dekat Alma, Bukit Mertajam bagi membolehkan lebih 4,000 dos suntikan vaksin dapat diberikan kepada penduduk di sini setiap hari.

“Permohonan ini akan dibawa untuk pertimbangan serta kelulusan CITF Kebangsaan pada Isnin, 2 Ogos 2021 dan diharap PPV ini dapat diluluskan supaya kapasiti pemberian vaksin di daerah SPT dapat ditingkatkan.

“Di samping itu, sebuah lagi PPV mega di Pusat Konvensyen SPICE Convention Centre (SPICE CC) akan dibuka esok dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari yang mana ia akan membantu kita mencapai matlamat yang ditetapkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai gesaan Kerajaan Negeri supaya tarikh janji temu diberikan kepada mereka yang telah mendaftar sejak Februari dan Mac tahun ini, Kon Yeow memaklumkan bahawa Menteri berkaitan masih lagi belum memberikan sebarang jawapan mengenai perkara itu.

“Sebenarnya, saya sudah banyak kali bangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Persekutuan tetapi jawapan tidak dapat diberikan oleh Menteri berkaitan berhubung bilakah golongan ini akan mendapat janji temu kerana ia tertakluk kepada penyampaian bekalan vaksin dari negara luar.

Salah seorang penerima vaksin sedang menerima suntikan.

“Justeru, kita telah meminta agar mereka yang telah mendaftar sejak Februari dan Mac tetapi masih belum mendapat janji temu supaya menghantar maklumat kepada Kerajaan Negeri untuk membolehkan kita memberikan bukti ini kepada Menteri berkaitan dan seterusnya menangani isu ini secepat mungkin,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar PPV One Hope Charity dapat meningkatkan kapasiti pemberian vaksin daripada 360 dos kepada 1,000 dos sehari.

“Saya rasa pihak pertubuhan sudah membuat permohonan supaya penghantaran vaksin untuk mencapai kapasiti sebenarnya dapat dilakukan secepat mungkin.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak One Hope Charity kerana telah menyertai PICK negeri dengan membuka satu lagi PPV bagi daerah SPT di sini yang mana akan membantu mempercepatkan program imunisasi negeri,” katanya.

Sementara itu, Hui Sau memberitahu pihaknya yakin dapat meningkatkan kapasiti pemberian dos harian daripada 360 kepada 1,000 dos sehari.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD