PPV unit bergerak ke komuniti

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan apa jua kaedah termasuk pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mobile (unit bergerak) bagi memastikan penduduk di negeri ini memperoleh vaksinasi COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan PPV unit bergerak dilihat penting untuk membolehkan proses vaksinasi dijalankan di lokasi-lokasi berkepadatan penduduk tinggi termasuk membabitkan kawasan luar bandar.

“Walaupun secara puratanya PPV yang ada boleh menampung keperluan program vaksinasi, namun daripada segi kecekapan ia masih lagi boleh ditambah baik.

“Oleh itu, kaedah PPV unit bergerak adalah penting untuk meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin dan membawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ke peringkat komuniti seperti di kawasan rumah pangsa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kampung-kampung,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPV Hospital Swasta (PPVHS) dekat Loh Guan Lye Specialists Centre di sini sebentar tadi.

Difahamkan, kapasiti suntikan vaksin di Loh Guan Lye Specialists Center adalah sebanyak 50 dos sehari kini membabitkan warga emas berumur 60 dan tahun ke atas. PPV berkaitan beroperasi pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Loh Guan Lye Specialists Center, Dr. Mary CH Quah serta Pakar Perunding Kardiologi & Perubatannya, Dr. Goh Eng Leong.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga akan mempertingkatkan pemantauan untuk memastikan operasi PPV berjalan lancar serta mencapai jumlah kapasiti ditetapkan.

“Setakat ini, saya dapati masih ada PPV yang boleh dipertingkatkan kecekapannya iaitu berhubung pelaksanaan jumlah vaksinasi yang lebih banyak daripada disasarkan.

“Setakat ini, saya masih belum berpuas hati lagi kerana walaupun kita sudah mengaturkan PPV yang boleh menyumbang 24,000 dos vaksin sehari tetapi ia masih tidak mencapai angka disasarkan.

“Penambahbaikan terhadap kecekapan di semua PPV akan menentukan kemampuan pemberian dos suntikan vaksin setiap minggu serta bulan bagi memastikan tiada kelewatan berlaku sebaliknya ia boleh diawalkan.

“Justeru, saya akan membawa perkara ini kepada jawatankuasa bertanggungjawab di bawah seliaan Dato’ SUK yang bertindak sebagai pemudah cara antara agensi Persekutuan dan Kementerian dengan para pemegang taruh di negeri Pulau Pinang,” ulasnya.

Sebelum itu, Kon Yeow meluangkan kira-kira satu jam mengunjungi sambil beramah-mesra dengan para penerima vaksin di PPVHW dekat Hospital Lam Wah Ee sebentar tadi.

Turut serta, Medical Superitendent LWEH, Datuk Dr. Yip Kok Thye dan Konsultan Paedtrician merangkap LWEH PPV Centre Coordinator, Dr. Cheang Hon Kit.

Beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat termasuk cuti umum, PPV berkaitan mampu menampung 200 penerima sehari dan berkeupayaan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada 300 hingga 400 (penerima).

Oleh: SUNARTI YUSOFF & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
VIDEO: DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN