PPW sedia perkhidmatan kaunseling percuma kepada mangsa keganasan rumah tangga

Admin

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif dalam usaha membantu dan memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga khususnya melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak di negeri ini.

Salah satu usaha yang telah dijalankan adalah melalui jalinan kerjasama dengan Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW) bagi menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan seksual.

Ooi Say Tee

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Presiden Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC), Annie Yeap Lay Pheng berkata bahawa PPW yang ditubuhkan pada 19 Januari 2009 menerima geran tahunan daripada Kerajaan Negeri untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Bermula tahun 2009, PPW menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM150,000 setiap tahun, dan bermula pada tahun 2016 sehingga kini peruntukan telah ditingkatkan kepada RM210,000 setahun.

“Ini merupakan kerjasama pintar di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan WCC bagi membantu golongan wanita termasuk kanak-kanak yang berdepan jenayah seksual dan keganasan rumah tangga.

“Tanggungjawab utama kami adalah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada golongan wanita dan kanak-kanak yang berdepan krisis khasnya berkaitan keganasan rumah tangga dan penderaan seksual.

“Selain kaunseling, kami juga menyediakan perkhidmatan sokongan dan menjalankan program seranta seperti masuk ke sekolah-sekolah untuk memberi pendidikan mengenai langkah-langkah keselamatan kepada para pelajar.

“Melalui program ini, kami akan memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang sentuhan selamat dan tidak selamat sebagai langkah pencegahan serangan seksual,” katanya sambil menambah bahawa PPW diuruskan sepenuhnya oleh WCC termasuk memberikan latihan kepada kakitangannya.

Turut hadir dalam sesi wawancara khas tersebut ialah Pengurus PPW, Ooi Say Tee dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja PPW, Datin Chin Khuan Sui.

Lay Pheng berkata, bagi memastikan perkhidmatan lebih berkesan, PPW juga menjalinkan kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan setempat untuk mengadakan ceramah mengenai langkah-langkah mengelakkan keganasan rumah tangga.

“Sebelum pandemik COVID-19, kami sering mengadakan program ceramah dengan kerjasama ADUN-ADUN kawasan secara berkala untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai langkah untuk menjalinkan hubungan harmoni dan lain-lain.

“Malah, PPW bersama-sama WCC juga menjalankan program untuk memberikan latihan kepada guru-guru sekolah, kakitangan kesihatan, anggota polis, timbalan pendakwa raya dan jurubahasa mahkamah.

“Latihan yang diberikan adalah berbentuk memberikan kesedaran kepada pihak-pihak berkaitan agar mereka lebih peka terhadap keperluan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga ini,” jelas beliau lagi.

Chin Khuan Sui.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa bahawa PPW juga turut menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga yang terletak di George Town.

“Namun begitu, pusat perlindungan tersebut tidak diuruskan oleh PPW sebaliknya oleh WCC yang mana kami hanya akan merujuk kes-kes yang dilaporkan termasuk yang berlaku di bahagian Seberang Perai,” katanya.

Katanya lagi, sejak 2009 hingga 2021, PPW telah memberikan perkhidmatan kepada seramai 7,309 pelanggan termasuk yang berurusan secara bersemuka mahupun melalui panggilan telefon.

“Sepanjang tempoh 13 tahun ini juga, kami telah memberikan ceramah kepada kira-kira 22,000 peserta manakala jumlah pelatih pula seramai 1,555 orang,” jelasnya sambil menambah bahawa sejak 2009 Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mmeperuntukkan sebanyak RM2.31 juta kepada PPW untuk menjalankan program berkaitan.

Terbaru kata Lay Pheng, pihaknya telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan geran peruntukan dan sokongan terus diberikan kepada PPW bagi tempoh tiga tahun lagi.

Annie Yeap Lay Pheng

“Peruntukan ini penting untuk memastikan PPW dapat terus menjalankan perkhidmatan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.

“Sebagai makluman, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menyalurkan dana berterusan selama 13 tahun untuk membantu golongan wanita yang kurang bernasib baik di negeri ini.

“Jadi, kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sumbangan berterusan ini,” ujarnya lagi.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kaunseling daripada PPW boleh hubungi pekerja sosial di nombor telefon – 04-398 8340/ 016-439 0698 (WhatsApp)/e-mel: ppw@wccpenang.org.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS