Premis diseru daftar Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru-baru ini memutuskan bahawa semua kutipan pengumpulan 20 sen terhadap pelanggan yang memohon beg plastik daripada kaunter bayaran premis-premis berdaftar menerusi Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma akan dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkaitan, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong berkata, perkara tersebut telah diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang berlangsung pada 11 Januari lalu.

Menurutnya, kedua-dua PBT iaitu MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mengambil alih tugas pengumpulan wang tersebut yang sebelum ini diselaraskan oleh Kerajaan Negeri.

“Melalui mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa semua kutipan pengumpulan daripada kempen tersebut akan dilakukan oleh kedua-dua PBT.

“Ini lebih mudah memandangkan kita (MBPP) mempunyai senarai dan premis-premis ini berdaftar dengan Bahagian Pelesenan (MBPP).
“Bagi pihak MBPP, kita akan mula membuat kutipan pada bulan April dan menyerahkannya kepada Kerajaan Negeri untuk dimasukkan ke dalam Akaun Tabung Amanah Kebajikan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli-ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang dan Chris Lee Chun Kit. Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu, kempen tersebut terbahagi kepada lapan kategori premis iaitu pasar raya hyper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

Justeru, beliau menyeru semua premis seperti kategori di atas supaya membuat pendaftaran dengan Jabatan Pelesenan MBPP secepat mungkin.

“Setelah mendaftar, mereka (pemilik premis) akan diberi sekeping sijil untuk dipamerkan di premis masing-masing sebagai rujukan pengguna bagi membuktikan bahawa mereka layak mengutip 20 sen ke atas penggunaan beg plastik oleh pelanggan.

“Sekiranya ingkar (enggan mendaftar), melalui Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976, pemilik boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan,” jelasnya.
Pada Julai 2009, Kerajaan Negeri mula memperkenalkan Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma pada setiap hari Isnin minggu pertama setiap bulan.

Kemudian, pada Januari 2010, kempen tersebut diperluaskan selama tiga hari setiap minggu iaitu Isnin, Selasa serta Rabu dan seterusnya mula melaksanakannya secara menyeluruh setiap hari pada tahun 2011.