Premis gunting rambut, tahap pematuhan adalah memuaskan

Admin

SEBERANG JAYA – Sebagaimana tanda tanya dalam kalangan penduduk Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya sendiri ternanti-nanti keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya untuk mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pusat hiburan keluarga seperti pawagam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini.

“Kita (Kerajaan Negeri) menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan, tetapi kebelakangan ini pun apabila kedengaran suara sedemikian (bila pawagam boleh dibuka), kita (Kerajaan Negeri) akan sampaikan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) peringkat negeri untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Kerja MKN Pusat,” jelasnya sebagai respons kepada pemberita dekat Sudut Media, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 16 Mei 2020.

Sebelum itu, Kon Yeow diiringi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap ADUN Angkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya) dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmud melancarkan acara Normal Baharu peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menjawab soalan pemberita lagi, Kon Yeow memberitahu bahawa Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam kenyataan berasingan telah menjelaskan mengenai tahap pematuhan SOP di kedai-kedai gunting rambut.

“Exco Kerajaan Tempatan, YB Jagdeep telah membuat pemeriksaan kelmarin dan mendapati bahawa tahap pematuhan adalah memuaskan.

“Dato’ Rozali melaporkan bahawa dekat kawasan pentadbiran Seberang Perai di bawah MBSP, kadar pematuhan kedai-kedai gunting rambut pada hari ini adalah 85 peratus.

“(Angka 85 peratus) ini adalah suatu peningkatan yang besar berbanding hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu iaitu cuma 15 peratus,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang.

Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa walaupun telah dikeluarkan SOP berwajib, sebelum dibuka premis kepada orang awam, tiap-tiap jawatankuasa pentadbir masjid serta rumah ibadat bukan Islam (RIBI) perlu terlebih dahulu menilai tahap kemampuan mengurus operasi masing-masing kepada orang ramai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS