Premis kediaman, perdagangan terbiar dan semak samun, MBPP cadang naik cukai taksiran tiga kali ganda

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bercadang naikkan kadar peratusan cukai taksiran untuk premis kediaman dan perdagangan yang terbiar serta bersemak samun di dalam kawasan pentadbirannya sebanyak tiga kali ganda.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ar Yew Tung Seang berkata pendekatan itu dicadangkan ekoran Majlis kerap kali menerima aduan umum berhubung masalah berbangkit itu.

“Kita (MBPP) acap kali menerima aduan berhubung premis terbiar ini di mana ia menimbulkan kacau ganggu kepada masyarakat sekitar terutamanya jiran tetangga.

“Seharusnya pemilik lebih bertanggungjawab… tidak membiarkan premis mereka tidak terjaga dalam keadaan semak dan tumbuh lalang.

“Justeru, Majlis telah bersetuju untuk melakukan pindaan bagi kenaikan kadar peratusan cukai taksiran sebanyak tiga kali ganda atau tidak melebihi kadar 35 peratus untuk premis Kediaman Bertanah (Kod R) dan Perdagangan (Kod d).

“Bagi Kediaman Bertanah (R100) kadar sedia ada adalah sebanyak 9.3 peratus dan akan dinaikkan kepada kadar baharu iaitu 28 peratus. Manakala Perdagangan (D100) dari kadar 11.55 peratus kepada 35 peratus,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung di sini pagi ini.

Hadir sama Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Mengulas mengenai penguatkuasaan tersebut, Tung Seang menjelaskan bahawa sebelum ianya boleh dikuatkuasakan, cadangan tersebut perlu dirujuk untuk pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu.

“Apa jua cadangan kenaikan yang ingin diperkenalkan perlu mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu,” ujarnya lanjut.