PRN: Jentera penyandang, muka baru perlu diselaraskan peringkat lapangan, respons Kon Yeow

Admin

BUKIT TAMBUN – Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang akan menyelaras semula urusan proses kempen peringkat lapangan yang melibatkan jentera penyandang dan jentera calon muka baharu bagi mengelak risiko sabotaj dalaman parti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang nanti.

Pengerusinya, Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai pengumuman senarai nama calon DAP semalam yang dikatakan membariskan muka-muka baharu dalam kelompok penyokong kuat bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang berkata, paling penting ketika ini adalah sekalian keahlian DAP wajar memberi tumpuan kepada usaha memenangkan calon parti serta mereka yang bertanding di bawah payung ‘Perpaduan’, sekali gus menubuhkan Kerajaan Negeri pasca PRN kelak.

“Perkara ini (boikot dalaman parti) memang lazim berlaku apabila berlakunya petukaran calon dan ini perlu diuruskan dengan baik.

“(Justeru,) kita (DAP Pulau Pinang) akan uruskan fasa peralihan ini dari peringkat jentera bagi penyandang yang sedia ada kepada calon dinamakan, yang mungkin baru di kawasan berkenaan.

“Saya pun menyeru semua keahlian parti untuk sama-sama menyokong calon yang dinamakan dan fokus kepada kempen dan mencapai kemenangan,” jelasnya seusai merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik (RMM) Permatang Tinggi di sini pada 26 Julai 2023.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa kemunculan barisan muka baharu dan penyandang dalam senarai calon yang dimuktamadkan peringkat parti adalah perkara biasa.

“Dalan setiap pilihan raya memang berlakunya perubahan (calon).

“Bayangkan kalau pengumuman dalam lima tahun lagi (selepas habis penggal PRN15), nama saya tak ada, itulah dinamik setiap pilihan raya (iaitu) ada orang lama yang akan terus diberi laluan dan orang muka baru diberi kesempatan baru.

“Seperti mana saya nyatakan, (senarai calon ini) diputuskan oleh parti (DAP) dan oleh itu saya menyeru semua ahli-ahli cawangan memfokuskan kepada kempen dan kemenangan,” ujarnya yang juga ‘Caretaker’ Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri ‘Caretaker’ sekali lagi merakamkan penghargaan kepada parti kerana memberi peluang kepadanya bertanding dalam PRN Pulau Pinang.

Sebagai tonggak utama DAP dan PH peringkat negeri, beliau menyatakan bahawa beliau bersama-sama jentera perpaduan peringkat negeri akan berusaha mempertahankan mandat kemenangan bagi menubuhkan Kerajaan Negeri pasca PRN nanti.

“Parti telah memutuskan senarai calon yang dimuktamadkan dan diumumkan.

“Bagi diri saya, saya mengucapkan penghargaan kerana dipilih sebagai calon, untuk memimpin pasukan ini dan memimpin Kerajaan Negeri sekiranya mencapai kemenangan.

“Saya pun menyeru semua keahlian parti untuk sama-sama menyokong calon yang dinamakan dan fokus kepada kempen dan mencapai kemenangan,” serunya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada semua barisan Exco Kerajaan Negeri bagi penggal pentadbiran 2018 hingga 2023, yang begitu gigih dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat di Pulau Pinang.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pasukan wakil rakyat dan Exco dalam penggal 2018 hingga 2023 ini kerana telah bekerja dengan saya untuk mencapai prestasi yang memuaskan bagi pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Sepanjang lima tahun (barisan Exco Kerajaan Negeri bagi penggal lepas) mengharungi cabaran pandemik COVID-19, dan memenuhi manifesto pilihan raya yang lepas dan juga memperkenalkan Visi Penang2030 sehingga kita memperoleh keputusan (pencapaian) yang memuaskan.

“Saya perlu memastikan senarai calon-calon yang dinamakan bukan sahaja dari DAP, seluruh calon di bawah Kerajaan Perpaduan dapat mencapai kemenangan dalam PRN (Pilhan Raya Negeri) Pulau Pinang ini,” tegasnya.

Dalam acara berasingan di Dewan Majlis Penggurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Cassia, Kon Yeow memberitahu bahawa semangat perpaduan dalam kalangan keahlian Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan mandat Kerajaan Negeri hari ini adalah lebih penting berbanding isu senarai nama calon yang baru diumumkan oleh DAP semalam.

“Kita berharap kempen berjalan dengan lancar, apa-apa masalah dalaman, itupun akan kita uruskan sebaiknya.

“Oleh itu, perpaduan dalam parti dengan sokongan daripada rakyat adalah penting walaupun berlakunya penukaran calon,” jelasnya lagi dalam nada sederhana.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS