PRN Johor, teliti analisis peroleh semula keyakinan pengundi terhadap perjuangan PH

Admin
img 20260715 wa0111

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan terbuka dalam menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan meneliti pelbagai analisis serta pandangan yang dikemukakan bagi memperkukuh strategi dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, setiap pandangan yang diberikan akan dinilai secara menyeluruh sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan, memperkukuh kekuatan dan merangka semula strategi politik parti.

“Kita mengamalkan sikap terbuka untuk menerima keputusan PRN Johor, dan kita juga meneliti pelbagai analisis terhadap sebab musabab mengapa perkara itu berlaku.

“Kita menerima baik pandangan-pandangan ini yang merupakan nasihat yang boleh membantu kita memperbaiki apa jua kelemahan, menambah baik kekuatan serta merangka semula strategi supaya DAP dan PH terus menjadi pilihan pengundi,” ujarnya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Komtar dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang menyatakan bahawa pelbagai faktor mungkin menyumbang kepada keputusan pilihan raya berkenaan, namun aspek paling penting adalah memastikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti terus diperkukuhkan.

“Kita tidak boleh mengetepikan pandangan rakyat.

“Mungkin terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan tersebut, namun yang paling penting ialah bagaimana kita memperoleh semula keyakinan pengundi terhadap perjuangan kita,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang, Kon Yeow menjelaskan bahawa hubungan kerjasama tersebut kekal kukuh tanpa sebarang isu.

“Setakat ini tiada sebarang isu berhubung kerjasama tersebut.

“Segala-galanya kekal seperti sedia ada, dan kita meneruskan kerjasama seperti biasa.

“Tiada mana-mana parti yang mengambil inisiatif untuk membuat sebarang perubahan atau keputusan baharu terhadap hala tuju kerjasama yang sedia terjalin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui pengaruh media sosial kini semakin besar dalam membentuk pemikiran dan persepsi masyarakat, sekali gus memberi kesan kepada landskap politik serta sosiobudaya negara.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa media sosial bukan sahaja mempengaruhi cara masyarakat berfikir dan bertindak, malah mampu membentuk jangkaan serta mewujudkan persepsi atau rasa tidak percaya terhadap sesuatu isu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penguasaan media sosial dalam strategi komunikasi adalah amat penting bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat, selain memperjelaskan pencapaian kerajaan serta menangkis dakwaan atau tuduhan yang disebarkan melalui platform digital.

PRN Johor ke-16 yang berlangsung pada 11 Julai lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi yang dipertandingkan manakala PH memperoleh lapan kerusi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN

Video : LAW SUUN TING