PRN, teruskan apa yang telah kita mulakan dan jadikan Visi Penang 2030 sebagai panduan – Kon Yeow

Admin

BUKIT TAMBUN – Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Kawan dilancarkan secara rasminya oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow malam ini.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangkakan sebelum pertengahan Ogos tahun ini pastinya menghadirkan cabaran tersendiri kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) yang telah diberi mandat mentadbir Pulau Pinang selama 15 tahun.

“Pulau Pinang merupakan salah satu daripada enam negeri yang akan mengadakan PRN, dan kali keempat kita sebagai Kerajaan Negeri akan menghadapi pengundi untuk menentukan mandat baharu oleh rakyat dalam PRN akan datang.

“Sudah 15 tahun PH menerajui kerajaan (negeri) dan saya bersyukur dengan prestasi PRN 2008, 2013 dan 2018 yang semakin menonjol dengan penambahan kerusi khasnya, tetapi adakah kita akan bertambah baik?

“Kerana pada PRN lepas kita telah diberi mandat besar memenangi 37 daripada 40 kerusi dipertandingkan atau 90 peratus kerusi disandang oleh calon PH, maka bagi saya, kalau dapat kekal 37 sudah boleh dikatakan prestasi amat cemerlang namun ada pihak merasakan kita perlu letak sasaran tertinggi.

“Justeru, itulah cabaran, kita akan diuji setelah 15 tahun, adakah kita mampu yakinkan rakyat jelata bahawa kita masih boleh jadi Kerajaan Negeri untuk meneruskan apa yang kita mulakan sejak tahun 2008,” ujarnya pada Ceramah Malaysia Madani, Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Pelancaran Jentera PKR Cabang Batu Kawan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim; ADUN Bukit Tambun; Goh Choon Aik; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan barisan kepimpinan MPKK Parlimen Batu Kawan. Lih Kang dan Choon Aik turut menyampaikan ucapan pada majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menyatakan bahawa sejak 2008, kira-kira RM199 bilion nilai pelaburan dari dalam dan luar negara telah memasuki Pulau Pinang dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Ini bukan saja angka, tetapi ada impak dan kesan kepada mutu kehidupan, sosial serta ekonomi untuk kita menaik taraf infrastruktur seperti air, elektrik serta kemudahan jalan supaya Pulau Pinang terus menjadi tumpuan pelaburan.

“Saya sifatkan PRU (Pilihan Raya Umum) lalu adalah raptai kepada PRN, jentera kita telah mula rehat beberapa bulan dan daripada ucapan YB Goh (Choon Aik) dan lain-lain, jentera kita perlu melaksanakan pelbagai program untuk hadapi PRN serta teruskan apa yang telah kita laksanakan dalam 15 tahun ini dengan menjadikan Visi Penang2030 sebagai panduan.

“Walaupun mungkin (saya) dilantik semula (sebagai Ketua Menteri) tidak sampai tahun 2030, sekurang-kurangnya 80 peratus visi tersebut akan dapat dilaksanakan, dan ia akan membawa Pulau Pinang melompat ke satu tahap lebih tinggi untuk rakyat menerima pembangunan di negeri ini,” jelasnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang.

Kon Yeow dalam itu turut menyambut baik penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan memaklumkan bahawa Perdana Menteri mula memberi perhatian kepada pembangunan serta projek-projek kritikal di Pulau Pinang terutamanya melibatkan infrastruktur yang telah kian lama diabaikan.