Produk guna semula kurang pembuangan sampah, tingkatkan kitar semula

Admin

GEORGE TOWN – Satu set perabot berupa kerusi dan meja berserta peti kecemasan yang diperbuat daripada barangan terbuang disumbangkan khas kepada Pejabat Ketua Menteri oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

 

Sumbangan berkaitan disampaikan oleh Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Azhar Arshad kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

 

 

Menurut Kon Yeow, bagi sesetengah orang mungkin melihat bahan-bahan terbabit adalah barangan terbuang semata-mata tetapi tidak bagi pasukan Upcycle MBSP.

 

 

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MBSP khususnya pasukan Upcycle MBSP kerana menyumbang set perabot guna semula ini.

 

 

“Ia dihasilkan oleh barang-barang yang orang lain anggap sudah tidak berguna lagi, namun MBSP masih menganggap ini satu usaha yang baik terutamanya meningkatkan kesedaran tentang amalan kitar semula serta guna semula,” ujarnya ketika menerima set perabot dan peti kecemasan di pejabatnya.

 

 

Azhar dalam pada itu berkata bahawa pasukan Upcycle MBSP menghasilkan 50 jenis barangan guna semula.

 

 

“Atas kemahiran kakitangan kita (MBSP), projek guna semula ini dapat dihasilkan bagi mengurangkan pembuangan sampah, tingkatkan kitar semula dan guna semula sambil memberi tambah nilai.

 

 

“Produk ini juga boleh didapati melalui katalog, bukan mahu berniaga, cuma mahu tingkatkan kitar semula dan guna semula, asalkan tidak mengganggu kerja hakiki, mereka boleh terus laksanakan projek ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

 

Difahamkan, set perabot yang terdiri daripada meja dan kerusi tersebut boleh disiapkan dalam masa tujuh hari melibatkan lima kakitangan.

 

 

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin dan pasukan Upcycle MBSP.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING