Program Cancer Survivor Week – Lavender June 2019 diharap mampu tingkat kesedaran awam tentang kanser, kata Exco

Admin

BERTAM – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap program Cancer Survivor Week – Lavender June 2019 mampu meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit kanser di samping memberi penghormatan kepada pesakit.

“Sambutan program ini adalah untuk mengajak masyarakat mengambil pendekatan secara optimis, positif dan proaktif dalam memperkasakan langkah atau tindakan untuk melawan atau mencegah penyakit kanser.

“Namun, kesedaran terhadap penyakit ini masih rendah dalam kalangan masyarakat yang mana statistik negara menunjukkan kadar pesakit kanser (tahap empat) masih tinggi.

“Oleh itu, proses meningkatkan kesedaran masyarakat dalam melawan, mencegah sekaligus memberi sokongan moral kepada pesakit kanser perlu diteruskan,” ujarnya semasa merasmikan program tersebut di perkarangan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), 22 Jun lalu.

Dalam pada itu, Afif turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada IPPT USM kerana mengambil inisiatif dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit kanser.

“Inisiatif ini adalah sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap mereka untuk terus bersemangat menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna.

“Kerajaan Negeri juga komited dalam memberikan sokongan penuh dalam setiap program kesihatan yang diadakan di negeri ini.

“Mungkin kerjasama antara institusi pendidikan seperti IPPT USM dengan Kerajaan Negeri boleh dijalinkan dengan lebih erat dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan warga Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Pada majlis itu juga, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di antara USM, Pusan National University (PNU) dan Heritage Association of Malay Massage (HAMA) yang bermatlamat untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memajukan sektor kesihatan di negeri ini.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADUN