Program dan dasar Kerajaan Negeri disesuaikan mengikut kehendak, kebajikan dan impian warga Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

PANTAI JEREJAK – Corak dan cara sambutan rumah terbuka yang berbeza-beza mengikut perayaan menjadi faktor penarik utama untuk penyatuan keluarga dan keakraban masyarakat di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, secara peribadinya beliau merasakan penganjuran rumah terbuka yang dianjurkan di negeri ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Konsep rumah terbuka yang telah diamalkan dan menjadi trend akan terus digunakan sebagai medium perantara bagi menyuburkan semangat perpaduan dan merapatkan jurang yang mungkin wujud selama ini.

“Simboliknya, amalan sebegini akan terus digunakan sebagai medan pertemuan yang paling kukuh dan padu.

“Atas sebab itu, melalui pelaksanaan visi Penang2030 : A Family-focused Green and Smart State that Inspired the Nation, Kerajaan Negeri dari awalnya telah menyedari bahawa keluarga adalah unit asas yang penting dalam pembentukan masyarakat dan seterusnya mewujudkan sistem sokongan yang kukuh dalam pembangunan serta pentadbiran negeri,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 di SPICE Convention Centre dekat sini sebentar tadi.

Buat julung kalinya, sambutan rumah terbuka tahun ini menampilkan kelainan apabila Kerajaan Negeri telah menggabungkan dua acara penting dalam kalender negeri iaitu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri (TYT) dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri dalam satu majlis.

Menyerikan majlis sambutan adalah kehadiran Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff di majlis berkaitan.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Timbalan Ketua Menteri I); Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri).

Mengulas lanjut mengenai perancangan dan fokus Kerajaan Negeri, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatakan bahawa memasuki tahun ke-11 memegang tampuk pemerintahan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan memastikan 1.77 juta warga negeri akan terus dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Terutamanya daripada segi kos sara hidup, kebajikan, kehidupan sosial serta kestabilan politik dan perpaduan kaum.

“Program dan dasar yang sedang, akan dan telah direncana akan disesuaikan mengikut kehendak, kebajikan serta impian rakyat negeri ini tanpa mendiskriminasikan kepada mana-mana kaum atau kawasan.

“Semoga nilai harmoni dan positif yang wujud dalam diri setiap daripada kita akan terus kekal dan sentiasa terpelihara daripada anasir-anasir yang sentiasa mencari ruang untuk merosakkan keamanan serta kesejahteraan yang terpelihara ini,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALVIE CHENG