Program derma darah berkala di Komtar perlu – Dr. Afif

GEORGE TOWNExco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mencadangkan program derma darah dianjurkan secara berkala tiga bulan sekali di Komtar di sini demi memastikan simpanan darah negeri senantiasa mencukupi, terutama pada musim perayaan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Derma Darah Pra-Ramadhan 2013 anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (ANSARA).

“Justeru, dengan kempen kesihatan derma darah ini, (diharap) dapat meningkatkan bekalan darah ekoran pada musim perayaan ( menyaksikan ) permintaan terhadap darah meningkat,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Timbalan Pengurus Besar PDC, Datuk Abdul Rahim Isahak dan Dr. Atiqah Ibrahim (dari Hospital Pulau Pinang, HPP) turut hadir pada program tersebut.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, pihaknya berharap program sebegitu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam.