Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Pulau Pinang bermula

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang menandakan permulaan Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pulau Pinang secara rasminya.

Beliau tiba di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 10 dan diberikan penerangan serta konsultasi sebelum menandatangi surat persetujuan penerimaan suntikan.

Beliau kemudian dibawa ke stesen pendaftaran dan seterusnya menerima suntikan vaksin COVID-19 oleh Matron Hafizah Hamzah yang merupakan Penyelia Jururawat Hospital Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow menunjukkan kad pengesahan selepas selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

Selepas menerima suntikan, Kon Yeow diletakkan di bawah pemerhatian selama 10 hingga 15 minit.

Secara keseluruhannya, masa yang diambil bagi melengkapkan proses suntikan vaksin COVID-19 adalah kira-kira 30 minit.

Selain Kon Yeow, turut menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini adalah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan diikuti Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib serta enam kakitangan perubatan.

Prof. Dr. P. Ramasamy antara 12 individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow berharap agar simbolik pelancaran yang diadakan tersebut dapat memberi keyakinan kepada penduduk di negeri ini untuk menerima suntikan vaksin sebagai usaha menangani penularan pandemik COVID-19.

“Syukur kerana proses suntikan vaksin COVID-19 hari ini berjalan dengan lancar tanpa rasa sakit. Bahkan, selepas menunggu selama 15 minit, tekanan darah juga diambil dan ini memberikan pengalaman baru kepada kami semua.

“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Pulau Pinang supaya mendaftar dengan aplikasi MySejahtera untuk menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini dan seterusnya menerima suntikan vaksin,” serunya.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang telah menerima bekalan vaksin COVID-19 yang pertama sebanyak 16,380 dos baru-baru ini dan akan menerima lima lagi penghantaran bagi menyempurnakan program berkaitan bagi Fasa 1.

Penduduk Pulau Pinang diseru agar menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Justeru, saya amat berharap agar Fasa 1 untuk pasukan barisan hadapan ini dapat disempurnakan melibatkan 31,000 individu yang akan diberikan suntikan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar terus kekal mematuhi prosesur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun selepas menerima suntikan vaksin.

“Saya amat bersyukur bahawa dalam jangka masa pendek iaitu satu tahun sahaja vaksin dapat diperkenalkan dan adalah diharapkan dengan adanya vaksin ini, perang terhadap COVID-19 dapat kita tangani dan seterusnya melangkau ke proses pemulihan,” ulasnya.

Sementara itu, Asmayani memaklumkan bahawa seramai 318 orang pasukan hadapan telah menerima suntikan vaksin termasuk 54 orang vaksinator.

Abdul Razak Jaafar sedang menandatangi surat persetujuan menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Barisan hadapan adalah terdiri daripada dua kategori iaitu dalam bidang perubatan atau kesihatan, dan satu lagi bukan perubatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta sebagainya,” jelasnya.

Difahamkan, Pulau Pinang akan menerima sebanyak 62,000 dos vaksin COVID-19 bagi fasa pertama ini.

Seramai 1.3 juta daripada 1.78 juta penduduk di negeri ini dijangka akan menerima suntikan vaksin COVID-19 yang bakal dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka disempurnakan menjelang bulan Februari 2022.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AlVIE CHENG