Program kesihatan mampu ubah tingkah laku, tingkatkan kesedaran umum

Admin

PADANG KOTA – Tidak dinafikan bahawa masih ada segelintir masyarakat hari ini kurang memberi perhatian terhadap aspek kesihatan kendiri sehinggalah berada pada tahap yang serius dan terlewat untuk mendapatkan rawatan.

 

Perkara sebegini, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kesihatan kendiri berada pada tahap optimum.

 

CHOW Kon Yeow.

 

“Umumnya, program-program kesihatan yang dianjurkan oleh wakil-wakil rakyat kawasan (di negeri ini) adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran komuniti setempat tentang penjagaan kesihatan diri yang baik.

 

“Saya percaya bahawa penganjuran program kesihatan juga adalah sebagai usaha mengubah tingkah laku sekali gus mempertingkatkan penjagaan kesihatan kendiri dalam kalangan komuniti setempat dan kawasan sekeliling,” ujarnya pada Program Kesihatan anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di Flat Jalan Kedah dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Pengerusi JPWK KADUN Padang Kota, Datin Yeoh Phaik Suan; Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Jalan Kedah; Abdul Wahab Shaik Mydin; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta wakil-wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pasukan Relanita setempat. 

 

SALAH satu reruai yang turut mendapat sambutan pada Program Kesihatan anjuran JPWK KADUN Padang Kota.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa saringan kesihatan secara berkala adalah penting sebagai langkah awal pengesanan penyakit.

 

Kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan komuniti seharusnya bermula pada umur muda iaitu sejak kecil lagi.

 

“(Dan) ia penting bagi melahirkan generasi masa depan yang sihat sejajar dengan Visi Penang2030.

 

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri sentiasa memberi galakan kepada badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan komuniti serta persatuan berkaitan untuk bekerjasama menganjurkan program kesedaran kesihatan seperti hari ini.

 

CHOW Kon Yeow menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja yang menjayakan program berkaitan di sini.

 

“Perkara ini penting bagi meningkatkan tahap  kesihatan di samping mengubah sikap masyarakat supaya mengamalkan corak hidup yang seimbang sama ada dari segi pemakanan, senaman, fizikal dan mental,” jelasnya.

 

Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu berharap agar komuniti di sekitar Jalan Kedah dapat mengambil peluang menyertai program kesihatan sebegini pada masa depan.

 

Terdahulu, Kon Yeow turut menyempurnakan penyampaian watikah kepada ahli-ahli jawatankuasa JPWK KADUN Padang Kota dan sijil penghargaan kepada barisan penaja dan NGO yang menjayakan program tersebut.

 

Malah, Kon Yeow juga meluangkan masa meraikan hari kelahiran ahli Sneham Malaysia; melakukan saringan kesihatan dan bermain dam ular gergasi yang didatangkan khas di bawah program Jelajah Cendoi Pasemboq anjuran bersama Kerajaan Negeri dan PWDC.

 

Membawa tema ‘Sihat dan Cergas, Hidup Bahagia Bermula daripada Anda’, program ini turut diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya kuiz kesihatan; cabutan bertuah; senaman kesihatan daripada ‘Happy Star‘; ceramah kesihatan dan saringan kesihatan percuma.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN