Program Kewarganegaraan Pulau Pinang bantu 1,118 individu sejak tahun 2013 – TKM II

Admin
P. Ramasamy (kemeja putih) menyampaikan sijil penyertaan kepada pihak polis yang turut serta dalam Karnival Kerajaan Negeri baru-baru ini.

BAGAN DALAM – Program Kewarganegaraan Pulau Pinang yang ditubuhkan sejak tahun 2013 telah membantu 1,118 individu tanpa kerakyatan bagi mendapatkan status warganegara yang sah, ujar Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Menurut Ramasamy, Pakatan Harapan (PH) turut mewujudkan manifesto pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu untuk menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh masa 100 hari, dan langkah-langkah tersebut kini mula dilaksanakan.

Masalah kewarganegaraan di Malaysia adalah melibatkan semua kaum dan bukan masyarakat India sahaja.

Pada bulan Ogos tahun ini juga, Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), telah pun mengumumkan bahawa penduduk tetap yang memegang kad pengenalan merah serta berumur 60 tahun ke atas akan diberikan status kewarganegaraan dan diberikan kad pengenalan biru termasuk 3,407 orang penduduk berbangsa India.

Dan perkembangan terkini, Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah menganugerahkan surat kelulusan permohonan kewarganegaraan Malaysia kepada 200 individu,” ujar Ramasamy ketika berucap pada Karnival Kerajaan Negeri Pulau Pinang di salah sebuah pasar raya dekat Jalan Chain Ferry semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M.Satees, Penyelaras dan Pegawai Pembantu Kewarganegaraan, V. Elemperu dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Siram.

Serentak dengan itu, Ramasamy memberitahu, Kementerian Pendidikan juga telah mengumumkan bahawa mulai Januari 2019, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan boleh didaftarkan sekolah hanya menggunakan sijil kelahiran , sijil anak angkat atau perintah mahkamah.

Sekiranya tidak mempunyai dokumen-dokumen berkaitan, pengesahan boleh diperolehi dari pemimpin masyarakat atau wakil rakyat setempat.

Bagi kes kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, jika salah seorang ibu atau bapanya merupakan warganegara Malaysia serta mempunyai sijil kelahiran… akan dibenarkan untuk didaftarkan ke sekolah kerajaan serta (dibenarkan) menduduki peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PT3, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya yang juga ADUN Perai.

Pada karnival selama satu hari itu, antara jabatan kerajaan terlibat termasuklah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerai Seberang Perai Utara, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Penang Skills Development Center (PSDC), Unit Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang, investPenang, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Pejabat Masyarakat Penyayang Pulau Pinang.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD