Program Kitar Semula Beg Beras galak amalan lestari

Admin
433aaa25 ace3 4d75 b57c 5bdd45fea0e9

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenal satu lagi inisiatif lestari menerusi Program Kitar Semula Beg Beras yang pertama seumpamanya di negeri ini bagi menggalakkan amalan kitar semula serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bahawa program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Sunshine Central Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), yang akan berlangsung pada 24 Oktober 2025 (Jumaat) di Hotel Atrium, Sunshine Central, Air Itam, bermula jam 3 petang.

Beliau berkata, program tersebut memberi peluang kepada orang ramai menebus beras percuma dengan menukar beg plastik beras daripada mana-mana jenama seberat lima atau 10 kilogram (kg) bagi setiap penebusan.

“Setiap penukaran melayakkan peserta menerima 1 kg beras Jasmine bernilai RM8, tertakluk kepada 500 orang terawal sahaja,” ujarnya pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan di sini, hari ini.

247e663c f93b 42e5 93e1 49548d7ebf78 18d05740 492d 406e beb6 9dfca2003ef2Menurut Rajendran, inisiatif itu sejajar dengan agenda MBPP dalam menggalakkan pengasingan sisa di punca serta mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna, sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal tunggal di negeri ini.

“Beg beras yang dikumpul akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP untuk dikitar semula menggunakan kaedah sesuai,” tambahnya.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP; Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin serta wakil daripada syarikat penganjur dan rakan kerjasama program.

Sementara itu, sempena Sambutan Hari Penjaja MBPP 2025, beliau memberitahu bahawa pihaknya turut melancarkan Kempen Bawa Bekas Anda Sendiri (Bring Your Own Container) bagi menggalakkan masyarakat membawa bekas makanan sendiri ketika membeli makanan di premis makanan milik pihak berkuasa tempatan itu.

“Langkah ini selaras dengan visi Pulau Pinang sebagai negeri hijau dan mampan yang mana setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

“MBPP berharap program seperti ini dapat diperluas ke lokasi lain termasuk Sunshine Square Bayan Baru dan kawasan berpenduduk padat agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat,” jelasnya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ALISSALA THIAN