Program Mutiara Food Bank diperluas untuk komuniti di Tanjung Bunga, Pulau Tikus

Admin

TANJUNG BUNGA – Program Mutiara Food Bank bakal diperluaskan lagi ke kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bunga dan Pulau Tikus.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari berkata, program akan dimulakan pada bulan Jun 2019 dengan mensasarkan kelompok komuniti yang memerlukan di kedua-dua KADUN.

 

“Mulai bulan hadapan (Jun), melalui program ini, kita akan mengagihkan makanan kepada penerima yang berada dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan AES (Agenda Ekonomi Saksama) termasuk mereka yang berada dalam kelompok B40.

 

ZAIRIL Khir Johari.

“Makanan yang diperoleh akan ditempatkan di Astaka MBPP Desiran Tanjung dan mereka yang dihubungi boleh ke sana untuk mengambilnya.

 

“Pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi kedua-dua KADUN akan membantu membuat kiraan stok dan sebagainya,” ujarnya pada sidang media di Pasar dan Kompleks Makanan Tanjung Bunga dekat sini, pagi ini.

 

Hadir sama, ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Timbalan Ketua Pegawai Operasi Mutiara Food Bank, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Connie Tan Hooi Peng dan P.R. Kaliyappan serta Naib Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Cawangan Bukit Bendera, VN A. Tharman.

 

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir berkata, pengagihan makanan akan dibuat dua kali sebulan secara bergilir dengan KADUN Pulau Tikus.

 

“Diharap program bantuan makanan percuma ini dapat membantu mereka yang memerlukan dari segi kos barang dapur.

 

“(Dan) saya amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk turut serta dalam inisiatif dan menjayakan program ini untuk tampil bertemu dengan wakil berkaitan,” katanya yang turut yakin bahawa program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu terbukti amat berfaedah kepada komuniti setempat.

 

Program Mutiara Food Bank merupakan suatu inisiatif bantuan makanan secara langsung yang mensasarkan golongan B40 serta mereka yang memerlukan.

 

Program yang mula diperkenalkan pada 1 Mei 2017 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu juga bermatlamat mengurangkan pembaziran makanan dengan kerjasama pasar raya terkemuka, TESCO.

 

Dalam perkembangan berasingan, Zairil turut hadir merasmikan tandas awam di Pasar dan Kompleks Makanan Tanjung Bunga yang siap dinaik taraf dengan kos RM37,000.

 

“Penarafan tandas awam itu adalah sebahagian daripada keseluruhan projek menaik taraf yang berjumlah RM60,000.

 

ZAIRIL Khir Johari (depan) dan Chris Lee Chun Kit (berkemeja hitam) berpuas hati dengan kerja-kerja penarafan tandas awam di Pasar dan Kompleks Makanan Tanjung Bunga ini.

“Projek ini merangkumi naik taraf tandas awam, pelebaran longkang dan sistem saliran, pemasangan siling, penutup longkang, perpaipan serta pemasangan lantai kalis air di tandas,” jelasnya.

 

Menurut Zairil, rata-rata pengunjung dan peniaga yang ditemui semasa ‘walkabout‘ pagi ini gembira dan amat berpuas hati apabila projek penarafan yang dimohon mereka siap mengikut jadual.

PASAR dan Kompleks Makanan Tanjung Bunga.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG