Program Pemuliharaan Habitat Paya Penang2030 sasar tanam 200,000 pokok bakau

Admin
img 20231214 103459

JAWI – Sebanyak 200,000 pokok bakau bakal ditanam di sekitar negeri ini di bawah Program Pemuliharaan Habitat Paya Penang2030 yang merupakan salah satu inisiatif penting dalam Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Penang South Island.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata pelaksanaan program itu adalah berlandaskan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang untuk menanam pokok bakau di lokasi-lokasi tertentu, termasuk di Silicon Island.

“Di kawasan ini (Jeti Nelayan Changkat), kita mendapat kerjasama dan sokongan daripada nelayan Changkat untuk menanam dan memantau pertumbuhan pokok bakau yang ditanam.

img 20231214 102346

img 20231214 102230

“Program ini juga akan dilaksanakan di lokasi lain yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perhutanan Negeri seperti Balik Pulau, Penaga, Sungai Udang/Chenaam, Juru dan Teluk Tempoyak yang disasarkan selesai pada tahun 2030.

“Selain itu, apabila Silicon Island selesai ditambak, hutan paya bakau akan diwujudkan sebagai satu kawasan rekreasi awam yang menarik untuk dinikmati rakyat dan pelancong pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan dekat Jeti Nelayan Changkat di sini pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ezhar Yusuf; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Khairulnizam Hashim; Ketua Unit Nelayan Changkat, Abdul Rahman Ibrahim dan ramai lagi.

Fahmi berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang giat melaksanakan program penanaman pokok dan restorasi habitat hutan paya bakau yang dilihat penting dalam melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan.

“Hutan paya bakau mampu mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut, dan menyerap karbon untuk mengurangkan kesan perubahan iklim selain menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung laut semasa musim sejuk.

“Oleh itu, pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah mewartakan lapan hutan bakau di Pulau Betong, Juru, Chenaam, Sungai Udang, Pasir Gebu, Lahar Endin, Kuala Bekah dan Air Hitam Dalam sebagai kawasan hutan simpanan kekal.

“Berikutan pewartaan ini, Pulau Pinang kini mempunyai 1,057.5 hektar hutan bakau simpanan kekal,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Sementara itu, Ezhar berkata Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun ini Kerajaan Negeri telah berjaya mewartakan seluas 962 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang menjadikan keluasan keseluruhan HSK di negeri ini seluas 6,063 hektar.

Angka ini sekali gus telah menambahkan keluasan HSK negeri sebanyak 15.8 peratus berbanding tahun akhir tempoh Rancangan Malaysia ke-11 iaitu seluas 5,100 hektar.

“Daripada 962 hektar HSK yang diwartakan, seluas 676.48 hektar adalah merupakan Hutan Paya Laut atau bakau yang telah diwartakan pada 15 Disember 2022,” ujarnya sambil menambah bahawa semua inisiatif yang dolaksanakan adalah selaras dengan matlamat untuk menanam 500,000 batang pokok menjelang tahun 2030.

Difahamkan, sebanyak 1,200 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Byram yang menjadikan bilangan keseluruhan pokok spesies bakau yang ditanam pada tahun 2023 adalah sebanyak 20,000 ribu pokok.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR