‘Program Pengurangan Risiko Daerah COVID-19’, persediaan keluar daripada PKP

Admin

GEORGE TOWN – Negara memerlukan ‘Program Pengurangan Risiko Daerah COVID-19’ atau dikenali sebagai District Risk Reduction Program (DRRP) Covid-19 untuk terus melindungi zon Hijau dan ‘melawan’ zon Kuning dan Merah sebagai persediaan keluar atau penarikan balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika berkongsi beberapa intipati yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang berlangsung di Putrajaya semalam.

Menurut Kon Yeow, berdasarkan analisis yang dilakukan pihak KKM, negara bersedia untuk meninggalkan PKP, walau bagaimanapun Malaysia memerlukan DRRP.

“Strategi ini menggariskan empat prinsip utama iaitu kawalan sempadan; kawalan pergerakan; penjarakan sosial dan keempat, peralatan perlindungan diri (PPE).

“Keempat-empat strategi ini akan disokong oleh tiga tulang belakang utama iaitu pertama, melindungi keluarga; melindungi komuniti dan ketiga melindungi daerah iaitu kebertanggungjawaban perlindungan pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya pada sesi siaran langsung menerusi Facebook peribadi beliau pada Hari Pertama Fasa Keempat PKP di sini sebentar tadi.

Sebagai rekod, KKM memaklumkan bahawa zon Hijau di seluruh negara secara umumnya telah meningkat kepada hampir 80 peratus daerah dengan beberapa negeri sudah diisytiharkan hijau sepenuhnya atau hanya berbaki beberapa kes dalam rawatan sahaja lagi.

Mengulas lanjut berhubung tiga strategi tulang belakang berkenaan, Kon Yeow menjelaskan bahawa ‘melindungi keluarga’ adalah seperti menjaga kebersihan diri; pematuhan PKP; memantau status kesihatan diri dan keluarga; amalkan pembelian serta pembayaran dalam talian dan pelbagai lagi sama sepertimana yang kita pratikkan kini.

“Pendekatan ‘melindungi komuniti’ untuk terus kekal Hijau adalah:

(i) Jawatankuasa penduduk sedia ada digerakkan sebagai penyelaras aktiviti pencegahan komuniti.
(ii) Laporkan aktiviti berkumpulan kepada ketua komuniti/polis.
(iii) Had dan rekodkan pergerakan keluar masuk pelawat/penduduk setempat.
(iv) Amalkan kebersihan tangan dan penjarakan sosial.
(v) Hebahan pendidikan kesihatan tentang langkah-langkah pencegahan COVID-19.
(vi) Hebahan kepatuhan PKP.
(vii) Motivasi supaya kekal hijau kepada komuniti (tiada kes).
(viii) Laporkan sebarang kes COVID-19 yang disyaki kepada pihak berkuasa.

“Manakala, pendekatan ‘melindungi daerah’ untuk kekal Hijau pula adalah:

(i) Diterajui oleh Majlis Tindakan Daerah/PBT.
(ii) Fokus kepada kumpulan rentan (orang asli, warga emas), kumpulan berisiko menularkan jangkitan.
(iii) Bekerjasama rapat dengan agensi seperti MPKK, Rukun Tetangga, COMBI, KOSPEN dan agensi bukan kerajaan (NGO).
(iv) Penguatkuasaan kawalan sempadan daerah dan pantau kemasukan pelawat.
(v) Jabatan Penerangan Daerah membantu dalam hebahan maklumat pendidikan kesihatan dan galakan kekal hijau.
(vi) Motivasi dan insentif kepada komuniti yang komited mengekalkan lokaliti tetap hijau.

“Di Pulau Pinang, barisan Exco Kerajaan Negeri bersedia melakukan anjakan pemikiran bagi melaksanakan perubahan dasar mahupun program untuk berdepan situasi baru akibat wabak pandemik ini… dalam berdepan dengan krisis ini, kita memerlukan pendekatan keseluruhan Kerajaan ataupun Whole-Of-Government Approach,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sehingga 28 April 2020, kadar kepatuhan PKP negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 97.88 peratus dengan 1,691 tangkapan membabitkan tiga fasa keseluruhannya.

Manakala, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa sehingga kini, tiada lagi kluster baru di negeri ini dan semua petugas barisan hadapan berada dalam keadaan sihat.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS