Program peningkatan kemahiran bantu golongan OKU lebih berdikari

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganjurkan Program Keusahawanan dan Semarak Budaya Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dalam usaha memperkasakan golongan kurang upaya di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif tersebut mampu memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) bagi mempertingkatkan kemahiran yang dilihat dapat membantu mereka untuk lebih berdikari.

Ketua Menteri dan dif-dif jemputan menyempurnakan gimik pelancaran Jom Daftar Pusat Jagaan dan Taska Negeri Pulau Pinang sempena program Keusahawanan dan Semarak Budaya Komuniti PPDK dekat Pasaraya Mydin sebentar tadi.

“PPDK merupakan pertubuhan akar umbi yang memberi peluang kepada golongan OKU menerima latihan asas yang dikendalikan oleh komuniti setempat secara sukarela di samping menerima bantuan daripada JKM.

“Di Pulau Pinang kita ada 25 buah PPDK, dan ini memang penglibatan komuniti untuk memberi peluang kepada golongan OKU menerima latihan kemahiran tertentu supaya mereka dapat berdikari.

“Mungkin hasil daripada produk dan perkhidmatan yang disediakan melalui program ini dapat menjadi sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikanprogram berkenaan dekat Pasaraya Besar Mydin di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Pengarah JKM Negeri Pulau Pinang, Shaballah Zainal Abidin serta Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr. Saduruddin Gulam Husen.

Sayuran organik antara produk yang diusahakan wagra PPDK Negeri Pulau Pinang.

Terdahulu, Kon Yeow dalam ucapannya menjelaskan bahawa penglibatan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia amat penting dalam menterjemahkan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dengan jayanya.

“Justeru, saya berharap agar lebih banyak agensi dan jabatan kerajaan dapat melaksanakan program sosial sepertimana yang dilaksanakan oleh JKM dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat,” ujarnya.

Dalam isu berkaitan, beliau turut menyeru kepada pengusaha dan pengendali taska serta pusat jagaan kanak-kanak supaya mendaftarkan perkhidmatan selaras dengan keperluan pematuhan Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Ketua Menteri bergambar kenang-kenangan bersama dengan warga JKM yang terlibat menjayakan program berkenaan.

“Merujuk kepada statistik JKM Pulau Pinang, masih terdapat 91 buat pusat jagaan dan 39 taska masib belum berdaftar di seluruh negeri.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap agar para pengusaha dan pengendali dapat menggunakan kesempatan ini untuk menikmati diskaun 90 peratus menerusi program pemutihan taska yang diperkenalkan sejak 2017 dan akan taman menjelang Jun tahun ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Shaballah memberitahu bahawa sebanyak 25 PPDK berjaya ditubuhkan di negeri ini yang beroperasi dengan penglibatan seramai 217 petugas serta memberi manfaat kepada 1,033 orang pelatih.

“Inisiatif Satu PPDK Satu Produk juga telah dilancarkan di Pulau Pinang dan diharapkan dapat memberi impak yang besar terhadap penglibatan pelatih OKU menjana pendapatan dan memperkasakan nilai keusahawanan yang tinggi dengan bimbingan penyelia dan petugas ya g komited,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : CHAN KOK KUAN