Program Pick-up Emas tawar perkhidmatan percuma buat warga emas ke klinik dan hospital

Admin

BUKIT TENGAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung hari ini melancarkan perkhidmatan Program Pick-up Emas yang menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas untuk ke klinik atau hospital.

Hsiao Leung berkata, program tersebut bertujuan untuk membantu golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas agar lebih mudah menjalani pemeriksaan kesihatan susulan di klinik ataupun hospital.

“Banyak kekangan yang terpaksa mereka (warga emas) harungi, ada yang tiada kemudahan ke klinik atau hospital dan ada juga sesetengah kawasan kediaman mereka tidak mempunyai capaian pengangkutan awam selain anak-anak yang sibuk bekerja.

“Menyedari akan permasalahan ini, saya telahpun berbincang dengan Klinik Kesihatan (KK) Bukit Minyak dan Hospital Bukit Mertajam, di mana berdasarkan rekod sedia ada terdapat lebih 3,000 warga emas dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah mempunyai temu janji di KK Bukit Minyak dan Klinik Mata Hospital Bukit Mertajam (3,288 orang),” jelasnya ketika melancarkan program tersebut pagi tadi.

Inisiatif murni tersebut adalah hasil kerjasama di antara Pusat Khidmat ADUN Bukit Tengah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kebun Sireh.

Difahamkan bahawa sebagai permulaan pihaknya akan menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada 200 warga emas sebulan.

Mengulas lanjut, Hsiao Leung berharap agar program tersebut dapat diperluaskan di seluruh negeri Pulau Pinang, di mana ia merupakan satu keperluan perkhidmatan buat golongan tersebut.

“Malah, pejabat saya akan menawarkan perkhidmatan untuk mengangkut warga emas yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 bermula 19 April ini,” tambah beliau.

Bagi yang ingin mendapatkan perkhidmatan Program Pick-up Emas boleh menghubungi Pusat Khidmat Bukit Tengah di talian 04- 507 5001 atau hubungi MPKK kawasan masing-masing. Pendaftaran hendaklah dibuat awal atau sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh temu janji klinik atau hospital.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR