Program Proteen tingkat kesedaran pemakanan bernutrisi terhadap pelajar

Admin

TELUK BAHANG – Dalam meningkatkan kesedaran umum berhubung pemakanan bernutrisi terutama dalam kalangan pelajar sekolah, Ahli Parlimen Balik Pulau mengambil inisiatif meneruskan Program Kecemerlangan Anak-Anak Keluarga B40 Melalui Nutrisi dan Pembacaan atau PROTEEN.

 

 

 

Menurut Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, seramai 210 pelajar terpilih menyertai PROTEEN 2.0 setelah kejayaan penganjurannya kali pertama sebelum ini.

 

 

 

“Pelajar-pelajar  terbabit akan menerima makanan berkhasiat dua kali sebulan selama dua tahun, kelas tuisyen percuma dan bantuan alat tulis.

 

 

 

“Program ini dilihat berjaya menjadikan pelajar-pelajar ini lebih sihat dan cakna soal pemakanan seimbang bernutrisi serta membantu perkembangan otak yang cerdas supaya pencapaian akademik mereka lebih baik.

 

 

 

“Kelas tuisyen secara dalam talian juga diadakan bagi memastikan mereka berada pada tahap optimum untuk mencapai berjaya dalam pembelajaran,” ujarnya pada majlis berkaitan pada 24 Oktober 2021 di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat Teluk Bahang dekat Jalan Air Putih Balik Pulau baru-baru ini.

 

 

Hadir sama, Pengarah Program PROTEEN 2.0, Md. Zabri Md. Zain dan Penyelaras Program Peringkat Negeri, Noor Aslinda Asmara.

 

 

Terdahulu, Noor Aslinda memaklumkan bahawa pelajar-pelajar terlibat akan diperiksa indeks jisim tubuh (BMI) dengan bimbingan doktor terlebih dahulu.

 

 

 

“Pelajar akan diberi nasihat sekiranya BMI tidak normal, selepas itu akan dipantau perkembangan pembelajaran sambil meneliti kesalinghubungan makanan sihat dengan prestasi pelajar terpilih.

 

 

 

“Di bawah Parlimen Balik Pulau sahaja, kita telah memilih seramai 56 pelajar yang mana program seumpama ini turut dilaksanakan di Sungai Dua, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan kawasan tertentu di Seberang Perai Selatan (SPS),” jelasnya.

 

 

 

Difahamkan, kali pertama PROTEEN diadakan adalah pada tahun lalu melibatkan pelajar dalam daerah Barat Daya yang mana dana diperoleh daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui Yayasan Hasanah dan digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, IKRAM Pulau Pinang.

 

 

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI