Program PSC-19 dianjur setiap hari mulai 30 Julai – Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo dalam sidang media secara maya di Kamtar pada pagi ini.

GEORGE TOWN – Mulai 30 Julai, program saringan massa Penang Saring Covid-19 (PSC-19) yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri secara percuma akan dilaksanakan setiap hari sehingga selesai sasaran 40,000 ujian calitan di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian dalam sidang media yang dilangsungkan secara maya dekat Komtar di sini pada 13 Ogos 2021.

“Sebanyak 29,876 ujian RTK-Antigen telah dilaksanakan di 35 lokasi program PSC-19 bermula 5 Julai 2021 sehingga 12 Ogos 2021.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,652 ujian RTK-Antigen tersebut adalah positif.

“Buat masa ini masih terdapat 451 ujian RT-PCR melibatkan saringan pada 8 hingga 12 Ogos 2021 yang belum diperolehi.

“Keputusan ujian RT-PCR tersebut dijangka akan diperoleh dalam tempoh 48 hingga 72 jam daripada pihak PKD (Pegawai Kesihatan Daerah),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk dan individu yang ingin membuat saringan boleh mendaftar untuk sesi saringan di lokasi yang dikendaki di laman sesawang https://penangsaring.selangkah.my atau melalui Pusat Khidmat ADUN/ Penyelaras KADUN masing-masing.

Difahamkan, pada hari ini diadakan PSC-19 Peringkat KADUN Sungai Pinang di Balai Rakyat Turnkey, Jalan Patani; diikuti 14 Ogos 2021 di dua lokasi secara serentak iaitu Sekolah Menengah Convent Pulau Tikus (KADUN Pulau Tikus) dan Padang Awam Taman Free School (KADUN Datuk Keramat).

Sementara pada 15 Ogos 2021, PSC-19 Peringkat Kawasan Parlimen Batu Kawan akan diadakan di Stadium Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING