Program publisiti dan penyertaan awam DRTSP2030 terima 2,559 maklum balas

Admin

SEBERANG JAYA – Program publisiti dan penyertaan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 (DRTSP2030) berjaya mengumpulkan sebanyak 2,559 maklum balas terdiri daripada penduduk tempatan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata jumlah tersebut adalah hasil daripada publisiti dan penyertaan awam yang dijalankan selama tiga bulan bermula 12 April hingga 9 Julai 2021.

“Tujuan publisiti dan penyertaan awam adalah bagi menggalakkan masyarakat untuk sama-sama terlibat dalam rancangan pembangunan masa depan kawasan mereka.

Sr. Rozali Mohamud.

“Penduduk Seberang Perai perlu tahu bahawa pandangan mereka sangat penting untuk menyusun rancangan pembangunan yang lebih komprehensif di Seberang Perai hingga tahun 2030.

“Justeru, orang ramai diberi kesempatan untuk memberikan cadangan dan mengemukakan bantahan mereka secara dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa kini.

“Walau bagaimanapun, saya gembira kerana MBSP telah menerima maklum balas positif serta menggalakkan daripada pelbagai pihak di Seberang Perai untuk rancangan tempatan ini dan ia merupakan jumlah tertinggi sepanjang kajian DRTSP2030 dilaksanakan.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas semua maklum balas yang berharga ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup publisiti dan penyertaan awam DRTSP2030 dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; barisan ADUN dan Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MBSP.

DRTSP2030 merupakan draf rancangan tempatan yang mengandungi strategi perancangan pembangunan di Seberang Perai hingga tahun 2030 yang merangkumi tiga teras utama iaitu kompetitif, inklusif, dan hijau dengan disokong oleh 18 strategi serta 52 cadangan.

Jagdeep Singh Deo.

Sementara itu, Jagdeep dalam ucapan beliau berkata bahawa draf rancangan tempatan amat penting selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sentiasa memastikan penglibatan rakyat dalam semua program dan projek pembangunan yang hendak dijalankan.

“Diharapkan setiap maklum balas yang diterima dapat ditangani dengan baik,” tegasnya lagi.

Dalam majlis itu juga, Jagdeep turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada wira barisan hadapan MBSP yang bertungkus-lumus memastikan pematuhan SOP dalam kalangan masyarat awam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS