Program riadah santai tarik kunjungan pelancong ke Kampung Terus

PENANTI – Selepas mencipta fenomena melalui acara Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang, Kampung Terus dekat sini tetap menjadi tumpuan pelancong dengan penganjuran aktiviti riadah santai pada setiap hujung minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin memberitahu bahawa pelbagai program dirangka bagi menghidupkan suasana di Kampung Terus yang merupakan kawasan jelapang padi tertua di wilayah utara.

Peserta Kayuhan Santai Ukhuwah memulakan kayuhan.

“Pada Julai lalu kita lancarkan program makan sarapan secara santai dan percuma pada awal pagi yang diadakan setiap hari Ahad.

“(Dan) kali ini pula kita adakan program Riadah Ukhuwah dan Kayuhan Santai Ukhuwah anjuran Guar Perahu Cycling Club (GPCC) dengan kerjasama Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Taman Guar Perahu.

“Pelbagai program yang diadakan ini adalah untuk menghidupkan suasana di Kampung Terus yang merupakan kawasan ekopelancongan menarik di Seberang Perai di samping mengekalkan sawah padi tertua ini.

Dr. Norlela Ariffin.

“Selain itu, pengunjung yang datang ke sini juga dapat melihat dan berswafoto dengan arca-arca padi yang dihasilkan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara selepas merasmikan program berkaitan, semalam.

Difahamkan, penganjuran program Kayuhan Santai Ukhuwah turut dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti senaman Zumba dan cabutan bertuah dan berjaya menarik kehadiran kira-kira 356 peserta.

Dalam perkembangan berkaitan, Norlela yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga bersetuju menyumbangkan sebuah bot penumpang bagi menggalakkan lagi aktiviti ekopelancongan di kawasan berkaitan.

“Bot penumpang dengan 25 tempat duduk akan ditempatkan di Jeti Kampung Terus dan diuruskan oleh Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita serta Kelab Nelayan untuk membolehkan pelancong menelusuri sungai untuk menikmati pemandangan menarik di sini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, penganjuran Pesta Padi Pulau Pinang yang memasuki siri kedua pada tahun lepas mendapat pengiktirafan sulung iaitu Anugerah Malaysia Landcape Architecture Award (MLAA) 2019.

Walau bagaimanapun, penganjuran pesta tahunan selama dua hari itu yang berjaya menarik ratusan ribu pengunjung itu terpaksa dibatalkan pada tahun ini ekoran berlakunya penularan pandemik COVID-19.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI