Program saringan massa secara percuma kepada bukan warganegara juga atas semangat kemanusiaan – Ramasamy

Admin
PROF. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) meninjau sendiri proses saringan massa di salah satu khemah PMS Peringkat KADUN Perai dekat Pangsapuri Teluk Indah di sini pada pagi tadi.

PERAI – Bukan warganegara termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen kependudukan sah yang mendiami keempat-empat blok Pangsapuri Teluk Indah di sini turut boleh menyertai Program Saringan Massa (PMS) secara percuma, sebagaimana warganegara.

(Dari Kanan) PROF. Dr. P. Ramasamy, P. David Marshel dan Jason Raj dalam sidang media ringkas selepas melawat tapak operasi PMS KADUN dekat Pangsapuri Teluk Indah di sini pada pagi tadi.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy berkata tujuan Kerajaan Negeri menganjurkan program tersebut adalah untuk menjejaki populasi penduduk yang bergejala mengikut Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), bukan untuk memeriksa status kependudukan mereka di negeri ini.

“Kita anggarkan lebih kurang 1,000 populasi penduduk di Blok D1, D2, E1 dan E2 di kawasan perumahan berstrata di sini.

“Program saringan massa kepada bukan warganegara negara juga adalah atas semangat kemanusiaan, jangan mengabaikan kesihatan mereka sebagai manusia.

“(Dan) daripada segi kesihatan awam, kita (Pulau Pinang) tidak akan membezakan buruh asing dengan warganegara walaupun mereka mungkin tidak ada dokumen kependudukan yang sah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai selepas meninjau sendiri tahap pengoperasian pusat saringan massa berhampiran Pangsapuri Teluk Indah di sini pada 18 Julai 2021.

ENAM kaunter dibuka, salah satu dikhususnya untuk bukan warganegara demi mencapai 1,000 populasi penduduk lokal sertai PMS.

Bercakap pada sidang media sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel memberitahu bahawa sehingga jam 10:30 pagi tadi hampir 300 individu menyertai program saringan massa peringkat KADUN Perai secara tanpa temu janji (walk-in) berbanding kira-kira 80 orang sahaja mendaftar secara dalam talian menerusi portal www.penangsaring.selangkah.my.

“Ramai yang menyertai program saringan massa di sini adalah secara ‘walk-in’.

“Ramai populasi penduduk di Taman Teluk Indah adalah daripada golongan B40 dan bukan berpendidikan tinggi, maka kita permudahkan semua urusan mereka yang datang secara ‘walk-in’ di sini.

“Tujuan kita adalah jelas iaitu kalau boleh kita tidak mahu di sini juga kena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebagaimana di Taman Nagasari, kerana ia akan menambahkan lagi kesulitan penduduk yang rata-rata B40 baik warganegara mahupun bukan warganegara,” katanya sambil menyeru para majikan supaya mengerah para pekerja kilang di sekitar kawasan berhampiran untuk mengambil peluang menyertai program saringan secara percuma tersebut.

Manakala, seorang lagi Ahli Majlis MBSP, Jason Raj memberitahu bahawa pihaknya berharap PMS KADUN Perai sehingga jam 5:30 petang nanti dapat menjejaki seramai mungkin mereka yang bergejala serta pembawa senyap untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kalau boleh 1,000 sasaran penyertaan program saringan massa mengikut KADUN ini memberi tumpuan pada lokaliti khusus yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta kawasan ‘hotspot’, bukan diadakan di mana-mana sahaja di kesemua 40 KADUN.

“Macam di kawasan perumahan berstrata Pangsapuri Teluk Indah, Perai adalah kawasan ‘hotspot’ kerana sejak bulan Jun (2021) telah mempunyai lebih 100 kes (positif COVID-19) dan tiga kematian direkodkan, sangat bagus Kerajaan Negeri memberi lebih tumpuan dengan penganjuran PMS di lokaliti yang mempunyai penduduk begitu padat dan ‘hotspot’ seperti di sini,” ujarnya lagi.

Pada 20 Jun lalu, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Perai dengan kerjasama dua pihak bukan kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan sendiri program saringan massa di Lebuh Kurau 3 dekat Taman Chai Leng di sini.

Hasil program selama sehari tersebut menerima lebih 600 penyertaan dalam kalangan penjaja kecil lokal dan pekerja industri; yang mana 130 daripadanya dikesan bergejala dan tiga kes positif COVID-19 direkodkan selepas saringan lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD