Program Semai Harapan sasar tanam 1,000 batang pokok setiap tahun

Admin

MACHANG BUBUK – Seramai 100 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah di sekitar Bukit Mertajam mengambil bahagian dalam program Semai Harapan yang berlangsung dekat Taman Rimba Cherok Tokun, di sini baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Junior Chamber International (JCI) Malaysia.

Chee Keong berkata, objektif utama penganjuran program berkenaan adalah untuk menggalakkan kanak-kanak terutamanya pelajar sekolah supaya mencintai alam sekitar demi generasi masa hadapan.

Para peserta juga turut diajar cara menghasilkan kompos.

“Program ini dinamakan sebagai Semai Harapan iaitu satu program menanam pokok Hujan-hujan yang mensasarkan 1,000 batang pokok ditanam setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Melalui program ini, kita mahu tanam benih pokok yang bukan sahaja dapat menceriakan kawasan Bukit Mertajam tetapi juga sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan pembangunan seimbang antara pembangunan fizikal dan alam sekitar,” ujarnya semasa merasmikan program berkenaan pada 14 April lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bernard Cheen Goon Hooi serta wakil-wakil daripada JCI Malaysia.

Dalam pada itu, Khai Loon yang turut berucap menyifatkan program berkenaan sebagai sesuatu yang menarik dan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang alam sekitar.

“Kita mahu konsep Semai Harapan ini dapat diserap ke dalam diri setiap individu bagi memastikan masyarakat sentiasa menuju ke arah sikap yang lebih positif, membina sekaligus menjadikan negeri ini lebih baik dan hijau.

“Pelbagai aktiviti yang dijalankan ini juga dilihat berupaya meningkatkan kesedaran tentang kehidupan sihat, kitar semula, kepentingan menghasilkan kompos, penanaman pokok dan sebagainya.

“Langkah ini penting untuk menjaga alam sekitar bagi memastikan generasi akan datang dapat hidup dalam keadaan persekitaran yang kondusif,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ENG KOK WEI