Projek Air Perak – Pulau Pinang bakal manfaatkan dua negeri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kesediaan Kerajaan Negeri Perak untuk berbincang mengenai isu pembekalan air.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kenyataan Menteri Besar Perak seperti yang dilaporkan dalam laporan akhbar bertajuk ‘Perak sedia bincang hasrat Pulau Pinang beli air terawat’ pada 12 Jun 2023 amat dialu-alukan.

 

“Dalam kenyataan tersebut, beliau (Menteri Besar Perak) menyatakan bahawa pihaknya menerima surat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dua bulan lalu dan sedia berunding mengenainya.

 

“Maka, tindakan susulan akan diambil bagi menyambung serta meneruskan rundingan antara dua negeri agar dapat merealisasikan Projek Air Perak – Pulau Pinang (dahulu dikenali sebagai Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak, SPRWTS) yang bakal memanfaatkan kedua-dua negeri, ” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 22 Jun 2023.

 

Kenyataan Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu juga menjawab pertanyaan wartawan di sini.

 

“Memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bakal dibubar, maka urusan selanjutnya akan diteruskan pada peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) juga menunggu surat (maklum balas) rasmi daripada Kerajaan Negeri Perak,” katanya.

 

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan empat projek jangka pendek dan sederhana di bawah Pelan Tindakan Seberang Perai Selatan (PT SPS) 2023 yang giat dilaksanakan oleh PBAPP sebagai penyelesaian sementara isu bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS)

 

“Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP supaya menyelesaikan semua isu bekalan air di SPS pada kadar segera.

 

“Di bawah pelan tindakan tersebut (PT SPS 2023) sebanyak empat projek disenaraikan membabitkan kos berjumlah RM24.6 juta.

 

“Antara projek terlibat adalah pembangunan loji (berteknologi) pengapungan udara terlarut (DAF) baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor dengan kapasiti 10 juta liter sehari (JLH); pembangunan tangki sedutan baharu di Rumah Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley; LRA Kompak di Sungai Kerian (2.4 JLH) dan dua LRA ‘mudah alih’ di Taman Sungai Duri Indah (0.25JLH),” jelasnya.

 

KETUA Menteri dan Ir. K. Pathmanathan ketika meneliti spesifikasi projek berkaitan di sini.

 

Pada masa yang sama, tambah Kon Yeow, PBAPP turut membangunkan LRA Sungai Kerian (Fasa 1) yang mampu meningkatkan kapasiti sehingga 114 JLH bernilai RM171 juta.

 

“Bagi projek ini, kini pelantikan konsultan untuk reka bentuk loji sedang dilaksanakan dan diharap dapat disiapkan menjelang tahun 2027 atau lebih awal lagi.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri juga sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan negeri Perak bagi pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang yang bakal memanfaatkan kedua-dua negeri,” katanya.

 

LOJI Rawatan Air Bukit Panchor yang menggunakan teknologi pengapungan udara terlarut (DAF) mampu menampung kapasiti sehingga 10 juta liter sehari.

 

Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi itu, selain projek-projek yang dirancang oleh PBAPP dalam menyelesaikan isu pembekalan air untuk jangka masa panjang sehingga tahun 2050, pengguna di Pulau Pinang juga perlu menjimatkan penggunaan air.

 

“Kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) mahu melihat perubahan sikap pengguna (dalam penggunaan air), sekiranya pengguna boleh mengurangkan 10 hingga 20 peratus maka air dapat dijimatkan,” sarannya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan yang turut hadir pada sidang media berkaitan memberitahu bahawa empat projek di bawah PT SPS 2023 bakal memanfaatkan 18,242 pengguna air di SPS.

 

“Bagi projek LRA Bukit Panchor, ia dijangka siap pada Ogos 2023 ini manakala projek di Rumah Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley pada Oktober 2023 disusuli dengan LRA Sungai Kerian pada Januari 2024. 

 

“Bagi projek LRA mudah alih di Taman Sungai Duri Indah pula bakal disiapkan Jun 2023 dan November lalu (2022) PBAPP telah menyiapkan projek Rumah Pam sementara Permatang Tinggi bernilai RM840,000 untuk mengurangkan isu bekalan air di beberapa kawasan di SPS.

 

“(Dan) jika perlu, PBAPP akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk lebih banyak projek interim di SPS pada tahun 2024 dan 2025 demi memenuhi keperluan pengguna air di SPS,” jelasnya.

 

LOJI Rawatan Air ‘kompak’ di Sungai Kerian menampung sehingga 2.4 juta liter sehari.

 

Ketika mengulas mengenai punca isu bekalan air di SPS terutama di Mukim 5, Pathmanathan memaklumkan bahawa kebergantungan terhadap satu sumber air serta pembangunan pesat yang tidak seiring dengan pembekalan air secara tidak langsung mengganggu perkhidmatan bekalan air di beberapa kawasan di SPS.

 

“Ada beberapa kawasan yang bertekanan rendah dan gangguan bekalan air terjadi apabila tiba musim perayaan.

 

“Maka, Kerajaan Negeri dan PBAPP giat mencari sumber air tambahan bagi menampung keperluan yang semakin meningkat di daerah tersebut,” ulasnya.

 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan ADUN Jawi merangkap Ahli Lembaga Pengarah PBAPP, Jason H’ng Mooi Lye  antara yang turut serta pada sidang media itu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHIILI
Gambar : ALISSALA THIAN