Projek bina pangsapuri Granito Permai kini 80 peratus siap – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo (empat dari kiri) dalam sidang media berkaitan semasa melawat tapak projek pembinaan Granito Permai di sini pada 18 Julai 2023.

TANJUNG BUNGA – Projek pembinaan satu blok Rumah Mampu Milik (RMM) Granito Permai yang terdiri daripada 980 unit kediaman dekat Lorong Lembah Permai 3, Tanjung Bunga kini mencapai 80 peratus tahap pemajuan.

‘Caretaker’ Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan tersebut di sini pada 18 Julai 2023.

“Paling penting bagi Kerajaan Negeri hari ini adalah RMM yang berkualiti,” jelasnya kepada pemberita sambil memberitahu pihaknya menyasarkan sejumlah 220,000 unit RMM dibekalkan di negeri ini menjelang tahun 2030.

Kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu, kini 152,263 unit RMM pelbagai kategori dalam pelbagai peringkat pemajuan serta ditawarkan dalam koridor harga RM150,000 hingga RM300,000 sebuah.

“Jadi, untuk semua RMM hingga rumah kos rendah dan sederhana rendah yang dalam pelbagai peringkat pemajuan kini telah mencapai hampir 70 peratus (berbanding sasaran membekalkan 220,000 unit kediaman menjelang tahun 2030),” jelasnya lagi.

Ketua Pegawai Bisnes bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan beberapa wakil pemaju lain turut sertai sidang media dan lawatan tapak projek tersebut.

Difahamkan, pangsapuri 50 tingkat terdiri daripada 34 tingkat unit kediaman, 11 tingkat parkir, tiga tingkat kemudahan bersama dan dua tingkat kemudahan utiliti itu akan dibangunkan oleh Taman Sri Bunga Sdn. Bhd. yang merupakan pemaju bagi projek berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN